USIM, UNIDA Teroka Kerjasama Melalui Program Kuliah Kerja Nyata

Home/Aktiviti/USIM, UNIDA Teroka Kerjasama Melalui Program Kuliah Kerja Nyata

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kehadiran seramai 3 pensyarah dan 23 pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang program pengajian dari Universitas Darussalam, Gontor, Indonesia untuk menjalankan program Kuliah Kerja Nyata (KKN) bermula 8 Mac hingga 24 Mac 2024.

Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM dalam ucapannya mencadangkan agar program sebegini boleh diperkuatkan lagi dengan pengisian program agama seperti Turath sains dan juga integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

“Ini kerana, USIM dan UNIDA mempunyai aliran atau niche pengajian yang sama dengan aspirasi memperjuangkan pengintegrasian antara ilmu Naqli dan Aqli dan juga integrasi Amal demi kebaikan umat Islam seluruh dunia,” katanya pada majlis pentutup program KKN di USIM.

Selain itu, beliau juga turut mencadangkan agar USIM dapat mewujudkan program dual-degree yang mana akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak selain bersedia untuk menerima para pelajar UNIDA yang berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana di USIM.

Beliau juga mengharapkan agar mengaktifkan semula Konsortium i-Iqra’ bersama UNIDA dan juga universiti lain untuk memperkasakan pendidikan Islam di seluruh nusantara.

Sementara itu, Dr Asif Trisnani, M.Ag, Timbalan Rektor 2 Bidang Administrasi, Pembangunan dan Kewangan, UNIDA berkata bahawa ini kali pertama UNIDA menjalankan kegiatan KKN International di Malaysia.

“Kami amat berbesar hati pihak USIM sudi menerima para pelajar dari UNIDA dan menyediakan program berbentuk komuniti servis (community engagement) di USIM. Anak-anak juga melaporkan bahawa mereka sangat berpuas hati dapat bersama dengan pelajar USIM dan juga komuniti sekitar di Nilai,” katanya.

USIM dan UNIDA juga telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun lepas sehingga 15 November 2026.

2024-03-26T12:50:32+08:00
Go to Top