NILAI, 17 Februari 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima pelantikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 16 Februari 2022 hingga 15 Februari 2025.

Simbolik penyerahan kad staf oleh Dato Muhammad Haizuan Rozali Pendaftar USIM dan sesi ‘clock in’ disaksikan oleh Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) telah diadakan di perkarangan lobi canselori sebentar tadi.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk melantik Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, 51, sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), dan Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, 53, sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, anak kelahiran Johor Bahru ini merupakan lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Makanan daripada University of Cambridge  sebelum ini merupakan Pengarah di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM.

Beliau aktif dalam bidang penyelidikan dan penerbitan dengan menghasilkan jurnal-jurnal berimpak antarabangsa. Beliau juga turut aktif dalam aktiviti konsultansi lebih-lebih lagi dalam bidang industri halal dan telah banyak terlibat dengan projek-projek industri halal di peringkat antarabangsa. Antara projek konsultansi beliau termasuklah Pensijilan Halal produk daging dari China untuk Syarikat DJR Sdn. Bhd., Pensijilan Halal black fungus dan black garlic UMS-Heilongjiang Academy of Sciences, China, Training for Halal Analysis, Machida, Jepun serta Ketua Auditor Halal bagi Training Halal auditors for Halal audits yang diterajui oleh Kerajaan Kuwait.

Sebagai seorang ahli akademik yang berpengalaman luas, kepakaran beliau amat dihargai dan untuk itu beliau telah dilantik bagi memegang pelbagai peranan penting dalam bidang pentadbiran dan akademik, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Pelan Strategik Penyelidikan USIM (2020-sekarang), Ahli Panel Penilai Kualiti Akademik Universiti Malaysia Sabah (2019-2021), Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) (2017-2020), Panel Penilai Konsortium Institut Halal Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia (2018-2019), Exclusive trainer untuk program latihan Halal Industry Development Corporation (HDC) disamping memegang keahlian profesional seperti Ahli Profesional Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT), Teknologis Profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Ahli Malaysian Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan pelbagai afiliasi lain.

Manakala Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, anak kelahiran Kelantan ini merupakan kelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Quran dan Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelum ini beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Institusi Sains Islam USIM.

Prof Adnan telah berkhidmat sebagai kakitangan akademik di USIM hampir 18 tahun dan merupakan seorang penulis yang prolifik dengan penerbitan lebih 50 buku dalam bidang kepakaran beliau.

Beliau juga aktif dalam bidang pentadbiran dan akademik serta pernah memegang beberapa jawatan penting kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2018-2021), Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan (2014-2020), Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM (2005-2019), Ahli Jawatankuasa Penilai Dana Penyelidikan Fundamental Kementerian Pendidikan Tinggi (2018), Ahli Lembaga Penasihat Akademik Kolej Islam As Sofa (KIS) (2018-2020), Ahli Majlis Dakwah Negara (2014) dan Ahli Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam IPTA (2011).

Dalam penyelidikan dan penulisan jurnal pula, beliau terlibat secara aktif di dalam dan luar negara. Antaranya beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Penasihat Editorial Journal of Quran Sunnah Education and Special Needs (2019-2020), Editor Penasihat Al- Rowaq (2015), Editor Jurnal Ulum Islamiyyah (2019-2020). Beliau juga pernah dijemput sebagai pengucaptama di beberapa persidangan dan seminar dalam dan luar negara antaranya seperti di Seminar Pendidikan Anakanak Istimewa Dalam Islam, International Virtual Seminar on Interpretation of Al-Quran In The Malay World, Seminar International Sempena Menyambut Maulidur Rasul 1438h, Seminar Pembangunan guru-guru Hafiz/Hafizah Mattary dan Guru-Guru Al-Quran Tattary Sarawak dan Wacana Isu-Isu Kontemporari Dalam Pengajian Al-Quran Dan Al-Sunnah.

USIM meraikan pelantikan kedua-dua tokoh akademik ke jawatan ini kerana dengan kepakaran serta pengalaman yang dimiliki diharapkan dapat mengekalkan kecemerlangan universiti dalam pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan