SEMPORNA, 8 September 2023 – Seramai 15 orang mahasiswa Program Akidah dan Agama, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, serta Program Komunikasi dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan Program Pembangunan Komuniti Madani bersama masyarakat Pulau Kulapuan Semporna, Sabah baru baru ini.

Program ini melibatkan kajian lapangan untuk membangunkan taraf sosial penduduk kampung di Pulau Kulapuan. Selain itu, aktiviti kesihatan dan rawatan gigi secara percuma turut dijalankan dengan kerjasama Fakulti Pergigian USIM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Pengarah program Nur Aimi Farhana Nasrudin berkata, secara umumnya program ini bertujuan untuk menyumbang kepakaran membangunkan masyarakat serta meningkatkan pelbagai kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa serta berbakti kepada masyarakat terpinggir melalui pelbagai kegiatan aktiviti kemasyarakatan.

“Antara aktiviti yang dijalankan adalah perkhidmatan rawatan pergigian, tazkirah dan kuliah, forum dan motivasi pendidikan, aktiviti gotong-royong, serta sukaneka”.

“Selain itu, program ini turut memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk membina kemahiran insaniah, sifat keperihatinan, kepimpinan dan pengurusan dalam suasana masyarakat yang berbilang kaum”, ujarnya lagi.

Sementara itu, salah seorang peserta saudari Nur Tasyamin Khalish,23, mahasiswa tahun tiga Program Komunikasi menzahirkan rasa teruja kerana dapat menyertai program kemasyarakatan ini yang memberi pengalaman baharu kepada beliau untuk berkongsi ilmu dan mendalami budaya masyarakat di Pulau Kulapuan.

 

“Di samping itu, program ini dapat membuka mata mahasiswa bahawa penglibatan dalam aktiviti sukarelawanan untuk berbakti kepada masyarakat sekitar adalah amat digalakkan serta memberi kesedaran kepada mereka untuk sentiasa cakna dengan kesusahan masyarakat yang kurang bernasib baik di luar sana”.

Beliau berharap agar masyarakat di Pulau Kulapuan ini mendapat perhatian yang sewajarnya untuk menaik taraf kehidupan dan sosio ekonomi serta Pendidikan yang menjamin masa depan generasi akan datang.

Program anjuran FKP USIM dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Semporna Prihatin ini turut disertai lima orang pensyarah pengiring dan mendapat tajaan daripada institusi lain antaranya Tabung Haji, Unit Agama Tenaga Nasional Berhad, Yayasan Taqwa, Masjid Bandar Enstek dan Surau Al-Firdaus dan Nilai Impian(SAFNI).

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan