NILAI, 3 Julai 2023 – Buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhannya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tersenarai dalam kedudukan 1201-1400 di QS World University Rankings 2024.

Naib Canselor Prof. Dato Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, penarafan QS World University Rankings ini membuktikan keberadaan USIM dalam kedudukan universiti terbaik dunia yang mengangkat dan memartabatkan institusi ilmu Naqli dan Aqli dalam konteks membangunkan keilmuan, kesarjanaan dan kemahiran dalam bidang halal, kewangan dan perbankan Islam serta dakwah OKU adalah setanding dengan universiti terkemuka lain di pentas antarabangsa.

“Tahun ini QS World University Rankings mengukur prestasi 2,963 institusi pendidikan berdasarkan lima indikator utama iaitu Penemuan Penyelidikan (reputasi akademik dan citasi per fakulti), Hasil dan Kebolehpasaran (reputasi majikan, dan kebolehpasaran graduan) Pengalaman Pembelajaran (nisbah pelajar dan kakitangan akademik), Jaringan Global (nisbah staf akademik antarabangsa, jaringan penyelidikan antarabangsa, pelajar antarabangsa) dan Kemampanan Penarafan QS”.

Ujarnya lagi, pencapaian sulung yang membanggakan ini tentunya atas semangat berpasukan dan kerjasama sesama warga kepada pemegang taruh bagi mencapai aspirasi dan hala tuju universiti untuk bergerak sederap dan senada bagi memperkasakan keterlihatan USIM dalam mensasarkan USIM sebagai universiti rujukan global pada tahun 2025.

Pada tahun 2020, USIM telah disenaraikan dalam kedudukan 501-550 bagi QS Asia University Rankings.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan