BANTEAY MEANCHEY, 29 Jun 2023 –  Sebanyak sembilan ekor lembu dan empat ekor kambing disumbangkan oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Yayasan Al-Abqari, Surau Makrifah dan RHB Bank melalui Program Kembara Adha ke Bumi Kemboja bagi menjalankan ibadah korban untuk masyarakat Islam di kampung Tekh Thla.

Kira-kira 600 penduduk kampung bersama 34 mahasiswa, dua orang pegawai pengiring PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta empat orang wakil dari Yayasan Al-Abqari bergotong-royong menyediakan juadah bagi memeriahkan sambutan Aidiladha di Kemboja.

 

Timbalan Komandan PALAPES USIM Encik Rozaimi Kamarudin yang mengiringi pasukan ini berkata, kerja-kerja penyembelihan lembu dan kambing korban dimulakan seusai solat sunat Aidiladha di Masjid kampung Tuek Thla.

“Biarpun di Malaysia ibadah korban dilakukan di merata tempat, namun pengalaman  menyambut hari raya korban di negara luar seperti Kemboja memberi keseronokan yang sukar diungkap dengan kata-kata”.

Jelasnya lagi, kehidupan penduduk di sini ibarat “kais pagi makan pagi,kais petang makan petang” kerana majoritinya bekerja sebagai petani dan nelayan di kampung. Kehidupan mereka sangat daif dan adakalanya mereka hanya mampu menjamah nasi sekali sehari.

“Paling menyentuh hati apabila melihat anak-anak di sini membesar tanpa mendapat pendidikan yang sempurna ditambah lagi dengan persekitaran kawasan kampung yang tidak mempunyai kelengkapan infrastruktur yang sempurna. Di samping itu, anak-anak ini juga perlu melalui kawasan jalan tidak berturap yang mengambil masa hampir satu jam untuk ke sekolah demi mendapatkan pendidikan yang boleh mengubah nasib mereka”.

Kedatangan warga USIM ke bumi Kemboja disambut meriah oleh Isteri Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Lok Jumteav Moa Malai, Gavenor Banteay Meanchey, Datuk Oum Reatrey, President of Serey Sophon City, Mr Sreng Sophol dan President of Prison, Datuk Ung Siphan selain itu juga Tokoh Masyarakat setempat juga meraikan Delegasi USIM dengan menyediakan makan malam bersama tokoh Masyarakat setempat.

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut sama hadir dan menyempurnakan penyembelihan berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membantu penduduk di kawasan pedalaman Kemboja, sekaligus memberi peluang kepada mereka yang beragama Islam untuk merasai kenikmatan Aidiladha.

Beliau berkata, kedaifan yang dialami oleh penduduk menyebabkan mereka jarang merasai daging lembu berbeza dengan rakyat Malaysia yang mana kehidupannya jauh lebih baik. “Kali ini kami bekerjasama dengan pihak PALAPES USIM dan saya berharap mereka dapat mengambil peluang untuk merasai sendiri pengalaman dan kesusahan penduduk di sini”. Ujarnya lagi.

“Melihat kesusahan yang dialami sudah cukup untuk membuatkan air mata kita menitis apatah lagi mereka yang mengalaminya sendiri. Bayangkan kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air bersih , sekolah dan sebagainya tidak disediakan di kampung berkenaan”. Katanya sambil memuji sikap rakyat Malaysia yang pemurah dan sedia membantu kerana tanpa sokongan mereka program ini tidak berjaya dilaksanakan.

Sepanjang berkampung di Tekh Thla, mahasiswa USIM  mengambil kesempatan yang ada membantu menyumbangkan tenaga dan bantuan yang semampunya kepada masyarakat di sini, termasuklah bantuan sumbangan tabung pendidikan dan sebagainya.

 

sumber: PALAPES

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan