NILAI, 29 Ogos 2023 – Majlis Sambutan Hari Pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2023 telah diadakan bersempena dengan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia pada 20 Ogos 2023 yang lalu. Sebagai sebuah persatuan yang bernaung di bawah Majlis Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas USIM (PRAGMATIS) komited untuk menjadikan sambutan ini sebagai satu usaha menghargai warga pentadbir di USIM.

Majlis yang diadakan di Galeri Canselori USIM ini telah disempurnakan oleh Pendaftar USIM, Dato’ Hj. Muhammad Haizuan Rozali dan turut dimeriahkan dengan pameran inovasi serta pencapaian pentadbir dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) antaranya, Jabatan Pendaftar, Jabatan Undang-Undang, Jabatan Perpustakaan, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC), Pusat Alumni dan Kerjaya, Jabatan Keselamatan dan Jabatan Bendahari.

 

Dato’ Haizuan dalam pidato khasnya yang penuh inspirasi bertajuk “Peranan Pentadbir Dalam Landskap Pengurusan Ilmu” turut menyeru para pentadbir untuk tidak mengehadkan penglibatan mereka dalam ruang lingkup sedia ada demi meningkatkan kompetensi dalam mencapai kecemerlangan kerjaya.

“Dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar ini juga, pentadbir adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mencipta pendapatan dengan hasil yang menguntungkan (monetary profit) melalui pembangunan narasi berdasarkan bidang kepakaran masing-masing, mengambil kira aspek pengurusan ilmu (knowledge management)”. Ujar beliau lagi.

Di penghujung majlis, Anugerah Gemilang PRAGMATIS turut dilancarkan bagi memberi informasi awal kepada ahli berkenaan Anugerah Gemilang MASTI yang bakal diadakan pada bulan Ogos 2024 di Bandung, Indonesia.

Sebagai pelengkap majlis sambutan ini, pelbagai program menarik telah dan bakal dijalankan, antaranya Riadah Badminton PRAGMATIS, Durian Rahmah PRAGMATIS, Program CSR Kunjungan ke Rumah Anak Yatim, Bengkel Penulisan Anekdot dan Memoir serta Khutbah Jumaat Khas Pentadbir.

Diharapkan sambutan seperti ini menjadi wadah penyatuan ahli PRAGMATIS, meningkatkan imej profesionalisme golongan pentadbir di USIM sebagai tulang belakang universiti dan seterusnya memberi impak positif kepada seluruh warga Universiti.

sumber: Nur Zahidah Zulkefli, Setiausaha Kehormat PRAGMATIS

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan