SEREMBAN – 17 peserta dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama IEEE Malaysia Comsoc & VTS Joint Chapters, telah berjaya menganjurkan program “Avengers of Innovation” pada 21 Ogos 2024 baru baru ini di Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Perempuan Negeri Sembilan.

Matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan teknologi Internet of Things (IoT) dan 5G kepada pelajar sekolah menengah, khususnya pelajar perempuan melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan. Program ini bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada teknologi terkini dalam suasana yang merangsang minat dan pemahaman.

 

Pengarah program yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Hafizal Mohamad, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata, seramai 61 orang pelajar perempuan serta tiga orang guru telah terlibat secara langsung dalam aktiviti hands-on dan sesi pembelajaran yang dijalankan dalam usaha untuk menggalakkan kerjasama antara universiti khususnya USIM dan sekolah-sekolah bagi memperkasa pelajar, khususnya dalam bidang teknologi yang semakin penting dalam era digital ini.

Ujarnya lagi, melalui bengkel hands-on, pelajar berpeluang untuk membina projek inovatif, sekali gus mengembangkan kemahiran teknikal serta kreativiti mereka dalam dunia teknologi serta dapat melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi, yang mampu bersaing di peringkat global dalam era revolusi industri 4.0.

“Saya sangat teruja melihat pelajar perempuan begitu berminat dan bersemangat tentang kejuruteraan dan teknologi. Dengan bantuan IEEE Malaysia Comsoc & VTS Joint Chapters, kami berusaha untuk mencipta suasana yang menarik dan memberikan pendedahan yang betul agar mereka akan lebih yakin untuk meneroka dan mengejar minat mereka dalam bidang STEM. Program ini bukan hanya tentang mempelajari teknologi, tetapi juga tentang membina kepercayaan diri dan mencipta masa depan yang cerah dalam industri STEM” tambah Prof. Ir. Dr. Hafizal.

 

Program ini dimulakan dengan pengenalan kepada Internet of Things (IoT) dan teknologi 5G. Peserta diberikan pemahaman asas tentang konsep dan aplikasi kedua-dua teknologi ini melalui sesi ceramah yang menarik dan interaktif. Manakala sesi praktikal menggunakan ESP dan Node-RED diselia oleh 10 fasilitator yang berpengalaman, di mana peserta diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti hands-on dan mempraktikkan kemahiran baru yang dipelajari.

Matlamat jangka panjang program ini adalah untuk mengurangkan jurang gender dalam bidang STEM dengan memberi motivasi dan keyakinan kepada pelajar perempuan untuk meneroka bidang yang sering dianggap sebagai ‘dunia lelaki’. USIM berharap bahawa dengan pendedahan awal kepada teknologi canggih seperti IoT dan 5G, pelajar-pelajar ini akan lebih bersedia dan bersemangat untuk meneruskan pengajian dan kerjaya dalam bidang teknologi.

 

Sumber: Dr. Nur Sabrina binti Suhaimi