NILAI, 1 Julai 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menerima pelantikan Naib Canselor yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 1 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2025.

Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, 51 tahun, menggantikan Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin yang telah tamat lantikan pada 9 Mei 2022. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dengan Pemakanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1995), Ijazah Sarjana Sains dari University of Reading (1997), beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of Cambridge pada tahun 2007 dalam bidang Teknologi Makanan.

Aktif dalam bidang penyelidikan dan penerbitan dengan menghasilkan jurnal-jurnal berimpak tinggi, beliau turut aktif dalam aktiviti konsultansi dalam bidang industri halal dan telah banyak terlibat dengan projek-projek industri halal di peringkat antarabangsa. Antara projek konsultansi beliau termasuklah Pensijilan Halal produk daging dari China untuk Syarikat DJR Sdn. Bhd., Pensijilan Halal black fungus dan black garlic UMS-Heilongjiang Academy of Sciences, China, Training for Halal Analysis, Machida, Jepun serta menjadi Ketua Auditor Halal bagi Training Halal auditors for Halal audits yang diterajui oleh Kerajaan Kuwait.

Seorang cendekiawan yang berpengalaman luas dalam pentadbiran dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di USIM, kepakaran beliau amat dihargai dan untuk itu beliau telah dilantik bagi memegang pelbagai peranan penting dalam bidang pentadbiran dan akademik, Antaranya , sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hub (November 2021 hingga Oktober 2024), Tenaga Pengajar Halal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula Januari 2022 sehingga Disember 2023, Auditor Halal MUIS (Januari 2021-Disember 2023), Ahli Panel Penilai Kualiti Akademik Universiti Malaysia Sabah (2019-2021), Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) (2017-2020) serta Panel Penilai Konsortium Institut Halal Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia (2018-2019).

Beliau juga merupakan Exclusive trainer untuk program latihan Halal Industry Development Corporation (HDC) disamping memegang keahlian profesional seperti Ahli Profesional Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT), Teknologis Profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Ahli Malaysian Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan pelbagai afiliasi lain.

USIM meraikan pelantikan beliau oleh Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi kerana dengan kepakaran serta pengalaman yang dimiliki diharapkan dapat memacu Universiti terus terkehadapan sebagai sebuah entiti dan Universiti Awam yang menerajui pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli sebagai tunjang kebitaraannya.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan