ABU DHABI – Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay dari Fakulti Sains dan Teknologi baru-baru ini meraih tempat pertama Anugerah OIC-CERT (Computer Emergency Response Team) Global Cybersecurity 2023 dan membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai berjumlah USD1,000.00 dalam majlis bertempat di Rixos Premium Saadiyat Resort Island, Abu Dhabi, UAE bersempena Arab Regional Cybersecurity Week and 15th OIC-CERT Annual Conference baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Penyelidik Cybersurity & Systems USIM menerima penganugerahan tersebut bagi projek inovasi ‘Cyber Hasanat: Resilient Community Via Secure Cybercitizenship Board Game’ iaitu inovasi permainan papan fizikal Secure Cybercitizenship (SET) bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber pengguna.

Produk SET ini adalah lanjutan daripada produk inovasi terdahulu, yang dikenali sebagai Cyberpoly, versi aplikasi mudah alih. Terdapat tiga isu utama yang diketengahkan oleh Cyber Hasanat iaitu perubahan tingkah laku pembelajaran dan kekurangan pengetahuan pencegahan serangan siber.

Cyber Hasanat adalah inovasi sosial yang berterusan untuk setiap tahun kepada masyarakat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber sejak dari kecil. Justeru, pembelajaran berasaskan komuniti bagi kursus “Masyarakat Digital Inklusif” telah dilaksanakan oleh pelajar Sains Komputer Universiti Sains Islam Malaysia melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah. Anugerah ini juga turut melibatkan penghantaran dokumen pelaporan merangkumi hak cipta, penerbitan, pencapaian inovasi lain sebelum ini dan beberapa komuniti setempat yang terlibat.

Terdapat empat objektif yang ingin dicapai oleh projek Cyber Hasanat iaitu (i) memenuhi keperluan sosial dalam mendidik warga muda tentang kesedaran keselamatan siber, (ii) memupuk tingkah laku beretika dalam kalangan remaja ke arah mengurangkan kejadian jenayah siber, (iii) untuk mempelajari potensi ancaman dan penyelesaian keselamatan siber semasa bermain permainan dan (iv) bertindak sebagai alat edutainment untuk pelajar sekolah dan universiti untuk belajar tentang keselamatan siber dengan integrasi pengetahuan INAQ (Naqli & Aqli) dan ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan.

Penerima anugerah dipilih oleh beberapa juri antarabangsa yang dilantik sekretariat OIC-CERT dan projek dinilai berdasarkan elemen kepentingan kepada ummah, proses dan teknologi. Sebanyak 12 penyertaan telah diterima dari negara luar. Tempat kedua dimenangi oleh organisasi dari Oman, manakala organisasi dari United Arab Emirates (UAE) meraih tempat ketiga. Sebelum ini, pada tahun 2022 tempat pertama disandang oleh Huawei Technologies Co. Ltd., Qatar.

Arab Regional Cybersecurity Week and 15th OIC-CERT Annual Conference diadakan sebagai platform untuk menghimpunkan pakar dari industri keselamatan siber bagi membincangkan dan merumuskan hala tuju strategik dan perancangan untuk menangani ancaman yang muncul kepada sektor keselamatan siber global dan serantau khususnya di negara-negara Islam.

Sebagai info tambahan, OIC-CERT ialah ahli gabungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah ditubuhkan pada tahun 2009, sebagai platform bagi negara anggota untuk meneroka dan membangunkan inisiatif kolaboratif dan potensi perkongsian dalam hal berkaitan keselamatan siber untuk mengukuhkan kemandirian di alam siber. Sehingga kini, OIC-CERT mempunyai 55 ahli dari 27 negara OIC.

 

 

Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan