NILAI, 18 Julai 2023 – Pelajar Cemerlang Orang Asli, Nurul Atiqah Ithnani Idrus, 18, mencipta sejarah menjadi pelajar pertama orang asli yang ditawarkan kemasukan ke Program Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Sesi Akademik 2022/2023.

Lebih membanggakan anak kedua dari tiga beradik ini telah memilih Program Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains bagi tempoh setahun pengajian, yang seterusnya akan ditempatkan Program Sarjana Muda di USIM.

Nurul Atiqah dari suku kaum Semai ini merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong, Pahang yang memperoleh keputusan SPM 10A.

Beliau juga merupakan pelajar terbaik SPM Orang Asli Peringkat Negeri Pahang pada tahun 2022.

“Saya berasa sangat bergembira kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi, dan berharap agar cita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi akan tercapai”.

Ujar Atiqah, untuk mencapai sesuatu kejayaan kita tidak boleh berada dalam tekanan. Persediaan awal adalah sangat penting, dan akan memastikan setiap hari mengulangkaji subjek seperti membaca, dan sering bertanya dengan orang yang lebih mahir untuk menguasai subjek yang lemah.

Dalam pada itu, Ibu beliau Norhayati Abu Zaki, seorang suri rumah tangga turut menzahirkan rasa kesyukuran dan berbangga dengan kejayaan atiqah.

Berkongsi tips, selain mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya, Norhayati sering berpesan supaya menghormati orang tua, belajar bersungguh-sungguh, dan memegang kata-kata bahawa hendak berjaya itu bukanlah senang, sesuatu kejayaan itu kena bermula dari bawah, dan sesuatu yang kita tidak tahu mestilah belajar.

“Saya berharap agar mereka lebih berjaya dan dapat membantu orang yang lebih susah kerana kita pernah susah”, ujarnya lagi.

Nurul Atikah juga turut layak menerima bantuan pembelajaran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk tempoh pengajian peringkat Asasi sehingga ke peringkat Sarjana Muda.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Ts. Dato Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM sangat mengalu-alukan  Nurul Atikah yang bakal  mendaftar ke Tamhidi USIM pada 25 Julai 2023 nanti. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan dan JAKOA atas kerjasama program hari ini.

“Ini merupakan sejarah buat USIM kerana bakal menerima pelajar orang asli terbaik pahang” tambah beliau.

Dijangka seramai 1109 pelajar bakal mendaftar ke program Tamhidi (Asasi) mulai 25 hingga 26 Julai.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan