Pertemuan USIM dan UIAM dengan Duta US bakal jayakan Projek Kelestarian Alam

Home/Aktiviti/Pertemuan USIM dan UIAM dengan Duta US bakal jayakan Projek Kelestarian Alam

KUALA LUMPUR, 20 Mac 2021- Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin mengetuai delegasi USIM dalam satu pertemuan bersama Duta Amerika Syarikat Kuala Lumpur, Ambassador Brian McFeeters bertempat di Restoran Serai, KL East Mall.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh delegasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diketuai oleh YBhg Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak bagi membincangkan program kerjasama bertemakan kelestarian alam.

Program alam sekitar ini dinamakan Pledge Campaign: Youth Action Sustainability Society yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur, USIM, UIAM dan Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights. Penglibatan EcoKnights dalam projek ini mampu memberikan aspirasi kepada para belia untuk menimba pengalaman daripada badan bukan kerajaan yang mendekati generasi muda supaya lebih bersemangat dalam memulihara alam sekitar. Program ini memberi fokus kepada pembinaan kapasiti belia dalam libatsama masyarakat, pengayaan ilmu berkaitan alam sekitar dan kerjasama pintar dengan badan-badan luar dalam usaha memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan kelestarian.

Program ini bakal dirasmikan pada 23 April 2021 bersempena hari alam sekitar sedunia (Earth Day 2021) dan mengambil ibrah bulan Ramadan untuk menganjurkan amalan baik dan penghayatan bersama tentang manusia sebagai khalifah yang diamanahkan sentiasa melakukan kebaikan di muka bumi.

Pelbagai aktiviti telah direncanakan bagi menjayakan projek ini, termasuklah penganugerahan pembiayaan kepada projek alam sekitar terbaik yang dicadangkan oleh para peserta. Program ini akan melibatkan pelajar USIM dan UIAM khususnya, dan terbuka kepada pelajar-pelajar lain yang berminat untuk membuat pernyataan komitmen (pledge) mengenai sumbangan mereka terhadap kelestarian alam sekitar. Pernyataan komitmen ini akan dimuat naik dalam laman web khas projek yang akan dilancarkan.

Delegasi dari USIM turut diwakili oleh Pengarah Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan, Prof. Madya Dr. Mohd Zin Kandar dan Pensyarah Fakulti Syariah Undang-undang, Dr. Norfadhilah Mohamad Ali.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

2021-04-23T15:04:58+08:00
Go to Top