REMBAU – Seramai 37 mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan program Jaulah Sukarelawan Semarak Siswa Madani 2024: Jejak Kasih Rembau, Siri 2.0: Komuniti Desa pada 10 Ogos 2024. Program anjuran Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) telah menyantuni komuniti desa di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau, Negeri Sembilan yang merupakan suku kaum “jakun”.
Penasihat program Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi sumbangan dana menjayakan aktiviti libatsama masyarakat ini. “Peruntukan tersebut bertujuan untuk membuka peluang kepada warga universiti melahirkan graduan yang bersifat empati terhadap komuniti sekeliling serta berharap menjadi salah satu inisiatif melahirkan graduan yang holistik. Mahasiswa dapat memahami realiti kehidupan dunia luar selain meningkatkan rasa kesyukuran dengan segala yang diperolehi.”
Libatsama sanggar bakti diterapkan secara menyeluruh dalam jaulah kali ini. Mahasiswa telah menganjurkan sukaneka sebagai ‘pemanas badan’ bersama kanak-kanak orang asli di Kampung Orang Asli Ulu Chembong. Program diteruskan dengan demonstrasi sains iaitu sanggar ilmu melalui aktiviti FastLab yang menarik perhatian dan minat penduduk kampung khusunya kanak-kanak terhadap ilmu sains. Antara demonstrasi sains yang dilakukan adalah penguraian hidrogen peroksida atau yang lebih dikenali sebagai “Elephant Toothpaste”. Kanak-kanak dapat mengetahui lebih lanjut tentang kehadiran dan kandungan udara di sekeliling seperti oksigen, nitrogen, karbon dioksida dan lain-lain.
Dalam pada masa yang sama, aktiviti gotong-royong turut dijalankan bagi membersih kawasan kampung termasuk balai raya, surau dan kawasan kraftangan yang berada di kampung tersebut. Pembersihan dilakukan pada setiap sudut termasuklah mencabut rumput-rumput yang panjang membersihkan longkang yang tersumbat dan mengutip sampah yang tidak boleh biodegradasi (proses pereputan) di sekitar kawasan tersebut. Tok Batin bersyukur dengan semangat kesukarelawanan mahasiswa yang sedikit sebanyak menceriakan serta menjaga keindahan alam di kawasan kampung tersebut.
Sementara itu, pengarah program Nursyaza Aqilah binti Mohd Shahimi berkata, mahasiswa FST khususnya amat mendokong program sebegini dilaksanakan dengan lebih kerap bagi menyuntik semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa serta mendekatkan diri dengan komuniti luar. Program ini juga dapat melahirkan sikap keprihatinan terhadap semua lapisan masyarakat tanpa berbilang kaum terutamanya warga desa.
“Penghuni di sini terdiri daripada bangsa utama di Malaysia iaitu Melayu tetapi pengunaan bahasa ialah Bahasa Melayu Proto. Di samping itu, hanya 22 keluarga adalah Muslim daripada 80 keluarga di kampung ini. Ini kerana kebanyakkan daripada mereka menganut dan mengikuti agama kepercayaan nenek moyang mereka yang terdahulu”, ujarnya.
Tambahnya lagi, aktiviti sukaneka yang menjadi perintis kepada sanggar bakti disambut dengan penuh gelak tawa anak-anak desa. Keceriaan terpancar tatkala dapat bermain bersama-sama dengan para pelajar. Selain itu, para pelajar juga telah bertungkus lumus membantu menceriakan kawasan balai raya kampung untuk menjadikan kawasan tersebut lebih ceria selari dengan keinginan dan hasrat komuniti kampung tersebut.
Majlis diakhiri dengan pemberian kotak rezeki kepada Encik Ramlan bin Bakil, selaku Tok Batin (Ketua Suku Kaum) Kampung Orang Asli Ulu Chembong untuk digunakan kepada warga desa di sana. Beliau menegaskan bahawa pemberian ini sedikit sebanyak membantu dalam kehidupan harian untuk penduduk di sana serta kehadiran pelajar dapat menceriakan kehidupan anak-anak kecil dan melestarikan alam sekitar di kampung mereka.
Justeru itu, program “Jaulah Sukarelawan Jejak Kasih Rembau Siri 2.0” yang bertemakan komuniti desa ini dapat memberikan pengalaman pembelajaran sepanjang hayat secara bersemuka serta sentuhan jiwa kepada setiap individu. Diharapkan agar nilai murni dan pengajaran dapat diambil dan dipraktikkan dalam kehidupan masing-masing untuk sentiasa bersyukur dan menghulurkan bantuan tidak mengenal apa jua bangsa dan agama.
Sumber: Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay