Dr. Hayati Ismail
Dr. Hayati IsmailPensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Menghadiri Seminar Pendidikan Madani dengan tema “Memartabatkan ‘Karamah Insani’ , Membangun Generasi Madani” pada pagi Sabtu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama-sama warga Kesatuan Guru dan bakal pendidik, satu perkataan yang bermain dalam fikiran saya ialah – pengorbanan.   Bukan setakat berkorban masa hujung minggu dengan pengisian peningkatan profesionalisme, atau dengan melaksanakan sekolah ganti bagi pendidik yang lain, tetapi the endgame, ataupun manfaatnya bukan untuk diri, tetapi untuk murid; murid yang sering difikirkan dan dibantu, tidak kira masa atau dalam apa juga keadaan.  Seorang guru tidak akan berkira bila murid memerlukan bantuan.  Sudah menjadi perkara biasa bagi seorang guru menggunakan wang sendiri untuk menyediakan peralatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau kelengkapan sukan untuk murid mereka, dan ini dilakukan dengan seikhlas hati.

Semasa menyentuh tentang beban tugas guru, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dalam ucapan beliau semasa seminar ini mencadangkan supaya guru-guru yang memegang jawatan tambahahan di sekolah diberikan elaun mengikut kesesuaian.  Seorang pensyarah pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini juga mencadangkan supaya skop tugas guru diperincikan, supaya guru tidak dibebani tugas-tugas yang luar skop tugas ini.

Sebenarnya tugas sebagai pendidik adalah begitu abstrak dan sukar untuk diletakkan parameter kerana perlu mendidik manusia, dan didikan ini hadir dengan perasaan kasih sayang, penuh adab dan kesusilaan.  Pendidik ialah cerminan kepada konsep karamah insaniah dan masyarakat madani yang menjadi slogan kepimpinan masa kini.  Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Teras 2 memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti 7 Teras KPM, sebagaimana yang diwartakan pada bulan Disember 2022.

Konsep Karamah Insaniah yang ditekankan mendokong prinsip  Rukun Negara – Kepercayaan kepada Tuhan, dan yang ke lima – Kesopanan dan Kesusilaan.  Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan keseimbangan intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi membangunkan individu yang sejahtera dan dapat menyumbang kepada negara.  Elemen ini adalah penting untuk menginsankan murid melalui konsep manusiawi, agar murid mempunyai perasaan empati dan kasih sayang terhadap satu sama lain.

Pembentukan adab dan akhlak individu bagi membangunkan masyarakat madani ini sebenarnya menjadi teras kepada ketamadunan manusia.  Perkataaan tamadun berakar daripada kata kerja Arab ‘maddana’ yang bererti “membuka bandar” atau “membuat penempatan” dan menjadi perkataan yang berkaitan seperti ‘madaniyah’ dan ‘Madinah’.   Teras tamadun juga adalah berdasarkan peradaban dan budaya, bukan setakat kemajuan fizikal dan kebendaan. Perkataan ‘madani’ mengikut Kamus Dewan merujuk kepada kemajuan pemikiran, kerohanian dan kebendaan untuk membentuk masyarakat dengan menyemai nilai-nilai murni.  Kamus Cambridge pula menunjukkan bahawa perkataan bahasa Inggeris civilization berakar umbi daripada perkataan Latin – civilis yang bermaksud ‘sesuai untuk warganegara’ atau ‘bersopan’, dan merujuk kepada proses mendidik masyarat supaya budaya mereka menjadi lebih maju.  Justeru jika dilihat daripada budaya timur mahupun barat, teras tamadun adalah akhlak yang merangkumi adab serta kesopanan dan kesusilaan; bukanlah kemajuan material semata-mata.

Elemen kesopanan dan kesusilaan ini terserlah ketika saya menghadiri Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Pribumi Peringkat Kebangsaan 2023 yang juga diadakan di USIM pada hari sebelumnya.  Kehalusan kraftangan, seni dan budaya serta kesantunan budi wakil murid dan pendidik Orang Asli dan Pribumi yang datang dari seluruh negara amat menarik perhatian warga yang hadir.  Bangsa penjajah zaman dahulu sering menganggap orang timur tidak bertamadun kerana pemikiran jumud mereka yang menyamakan tamadun dengan kemajuan fizikal dan kebendaan.  Tetapi jelas, ketamadunan perlu dilihat daripada daripada aspek keinsanan dan manusiawi, bagaimana individu bertingkah laku penuh budi dan susila yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Memetik ucapan YB Fadhlina Sidek ketika merasmikan Seminar Pendidikan Madani – akhlak seorang murid adalah refleksi kepada gurunya.  Pemupukan Karamah Insaniah yang menjadi teras pembentukan adab dan akhlak murid ini memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua pihak – ibu bapa, komuniti dan masyarakat, sebagaimana yang dianjurkan dalam Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  Murid yang dibangunkan daripada sistem pendidikan negara memerlukan suri teladan daripada insan dewasa yang bermanfaat di sekeliling mereka, justeru jadilah contoh terbaik kepada generasi pewaris negara masa akan datang.