NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Jabatan Bendahari telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dalam usaha menyokong projek bersama yang bakal memberi impak kepada kedua-dua buah institusi.

BIMB merupakan sebuah institusi kewangan perbankan Islam yang pertama dan terunggul di Malaysia yang sentiasa berusaha meningkatkan dan menguatkan program kerjasama yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam meningkatkan kecemerlangan industri perbankan Islam.

Kerjasama pada kali ini memfokuskan kepada promosi pembukaan akaun Bank Islam dengan mensasarkan peningkatan sebanyak 10% pengguna berdaftar dengan Bank Islam pada tahun ini.

Encik Zamree Mohamed Pengarah Perbankan Runcit dan Pengagihan, BIMB berkata USIM sebagai rakan strategik dapat membantu dari sudut hebahan maklumat berkaitan pembukaan akaun ini kepada awam dan akan mendapat insentif melaluinya.

 

“Inisiatif seperti ini merupakan usaha kami untuk menghargai rakan strategik kami yang telah banyak menyokong kami sepanjang hampir 41 tahun beroperasi.”

“Hubungan kerjasama USIM dengan Bank Islam telah lama dibina sejak 2012 lagi. Pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan dan pendidikan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” kata Naib Canselor USIM dalam majlis tersebut.

Tambah beliau, hubungan kerjasama yang dibina akan menghasilkan peluang dan ruang yang lebih banyak dalam pelbagai bidang dan akan lebih mengeratkan hubungan antara universiti dan industri.

“Universiti era baharu bukan sahaja berperanan membangunkan kerangka kurikulum dan akademik malah perlu lebih kreatif dalam mencipta ekosistem yang menyokong hubungan baik antara universiti dan industri,” ujarnya lagi.

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, bersama Encik Zamree Mohamed, Pengarah Perbankan Runcit dan Pengagihan, BIMB. Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan beberapa wakil BIMB.

 

Oleh: Norhaswati Mat Naffi