REMBAU – Dalam usaha untuk melahirkan usahawan dan komuniti profesional dari kalangan golongan belia B40 dan Orang Asli dalam industri pelancongan, Universiti Sains islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Latihan Modul I-Skilled Keusahawanan Pelancongan Digital Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism) Bagi Golongan Belia B40 Dan Orang Asli Negeri Sembilan bermula 25 hingga 26 November 2023 bertempat di UiTM Rembau.

 

Program turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Pusat Keusahawanan Universiti.

Dianggarkan seramai 50 peserta yang terdiri daripada kalangan belia B40 dan Masyarakat orang asli sekitar Negeri Sembilan telah diberi pendedahan secara teori dan praktis serta dilatih untuk menguruskan perniagaan dengan kemahiran keusahawanan pelancongan digital yang diberikan.

Di samping itu, program ini sebagai salah satu cara untuk membentuk keperibadian diri sebagai usahawan pelancongan komuniti yang beretika dan berintegriti tinggi, selain menaik taraf kehidupan keluarga dan generasinya.

Penganjuran program itu juga memberi ruang kepada peserta untuk memiliki sijil kompetensi sebagai usahawan dan pekerja yang telah mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas mengenai kerjaya di dalam industri inap desa dan pelancongan berasaskan komuniti.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Zaifulbahri bin Idris (EXCO & DUN Chembong). Turut hadir sama adalah Professor Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Yamin Yasin, Rektor UiTM Kampus Rembau dan Ketua Kampung/Tok Batin ke majlis ini.

Program ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada peserta, masyarakat setempat, dan industri pelancongan secara keseluruhannya.