NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah menganjurkan Bengkel Semakan Dokumen bagi Audit Malaysia Research Assessment (MyRA) bagi Pencapaian Tahun 2024 dan 2025 pada 14 Julai 2026 di Executive Lounge, Aras 6, Bangunan Canselori, sebagai persediaan menghadapi Audit Malaysia Research Assessment (MyRA) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Bengkel tersebut menghimpunkan Ahli Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengumpulan Data MyRA, wakil-wakil pusat tanggungjawab (PTj) serta urus setia MyRA bagi menyemak, mengesahkan dan memurnikan dokumen serta bahan pembuktian (evidence) mengikut setiap seksyen penilaian. Penganjuran bengkel ini bertujuan memastikan semua data yang dikemukakan adalah lengkap, tepat, konsisten dan mematuhi keperluan instrumen MyRA sebelum proses audit dilaksanakan.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah mengikuti pembentangan yang disampaikan oleh Encik Nik Muhammad Naqib Ahmad Mokhjamil, Penolong Pendaftar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), berkaitan pencapaian semasa MyRA, penemuan audit dalaman serta penyelarasan tindakan penambahbaikan. Turut dibincangkan ialah perancangan dan tentatif Audit Tapak MyRA 2026 bagi memastikan setiap PTj bersedia dengan data dan dokumen sokongan yang diperlukan.

Selain sesi pembentangan, bengkel diteruskan dengan semakan dokumen dan bahan pembuktian mengikut seksyen penilaian serta perbincangan secara langsung antara urus setia MyRA dan wakil PTj. Sesi ini memberi ruang kepada peserta untuk menyelesaikan isu berkaitan data, mendapatkan penjelasan terhadap keperluan audit serta menyelaras tindakan penambahbaikan secara bersama.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan data penyelidikan serta memastikan setiap eviden yang dikemukakan memenuhi standard penilaian yang ditetapkan oleh KPT. Melalui kerjasama erat antara urus setia dan semua PTj yang terlibat, USIM optimis dapat melaksanakan persediaan audit MyRA dengan lebih tersusun dan berkesan.

Disediakan oleh

Siti Azar Kassim
Penolong Pegawai Tadbir
Seksyen Penarafan dan Pengiktirafan
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Jabatan Canselori