NILAI – “Jadilah anak yang soleh, teruskan perjuangan demi menempuh kehidupan untuk terus berjaya” antara nasihat dan pegangan yang sentiasa diingati dan menguatkan iltizam Muhammad Arif Akhmal Abdul Aziz untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Muhammad Arif merupakan anak tunggal yang kini menetap di Temerloh Pahang kehilangan ibu dan bapanya akibat COVID-19 kira-kira dua tahun lalu telah ditawarkan dan mendaftar bagi program Pentabiran Muamalat di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Sesi Akademik 2023/2024.
Meskipun berasa sedih kerana kedua-dua ibu dan bapa tidak dapat bersama di hari pertama bergelar mahasiswa universiti, beliau tetap teruja dan komited untuk memenuhi cita-citanya sebagai seorang juruaudit yang berjaya suatu hari dan akan belajar bersungguh-sungguh agar dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang bagi mencapai Impian tersebut.
Beliau antara 2,457 orang pelajar yang telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di USIM untuk sesi akademik 2023/2024 dan mula mengikuti Sesi Taaruf secara fizikal dan dalam talian mulai 3 Oktober hingga 8 Oktober 2023 ini.