NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) telah meneruskan penganjuran Bengkel Pembangunan Dashboard bagi Data Malaysia Research Assessment (MyRA) Siri 2 pada 28 Oktober 2026 bertempat di Executive Lounge, Aras 6, Bangunan Canselori, USIM.

Bengkel ini merupakan kesinambungan kepada Siri 1 yang telah diadakan pada 14 Oktober 2026 dengan melibatkan Pusat Tanggungjawab (PTj) lain yang berkaitan bagi meneruskan usaha penyelarasan dan pemurnian keperluan data MyRA. Penganjuran siri kedua ini bertujuan memperincikan sumber dan keperluan maklumat daripada PTj bagi menyokong pembangunan Dashboard MyRA secara lebih sistematik dan bersepadu.

Bengkel Siri 2 melibatkan wakil daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Bendahari, Jabatan Canselori serta Pusat Wakaf dan Zakat, di samping penglibatan SDEC sebagai rakan kerjasama teknikal dalam pembangunan dashboard. Penglibatan PTj berkenaan bertujuan mendapatkan input dan pengesahan terhadap keperluan data mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.

Penyelarasan dalam siri ini memberi penekanan kepada penelitian sumber data, definisi serta kaedah pengiraan yang diperlukan bagi pembangunan Dashboard MyRA. Usaha ini turut bertujuan mengenal pasti isu dan jurang berkaitan data yang memerlukan penyelarasan lanjut bagi memastikan keseragaman dan konsistensi maklumat daripada pelbagai sumber.

Selain itu, kerjasama antara pihak TNCPI, SDEC dan pemilik data daripada PTj yang terlibat menjadi asas penting dalam memastikan keperluan data dapat diselaraskan dengan aspek teknikal pembangunan dashboard. Penyelarasan ini diharap dapat membantu memperincikan keperluan integrasi data daripada sistem sedia ada bagi menyokong pembangunan Dashboard MyRA yang lebih teratur dan berkesan.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam memperkasakan tadbir urus dan pengurusan data penyelidikan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu. Inisiatif pembangunan Dashboard MyRA ini diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan maklumat serta menyokong usaha universiti dalam memperkukuh pemantauan dan pelaporan prestasi penyelidikan pada masa hadapan.

 

Disediakan oleh

Siti Azar Kassim
Seksyen Penarafan dan Pengiktirafan
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Jabatan Canselori