NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Dashboard bagi Data Malaysia Research Assessment (MyRA) Siri 1 pada 14 Oktober 2026 bertempat di Bilik Seminar, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM.
Penganjuran bengkel ini merupakan kesinambungan daripada dua sesi perbincangan awal antara pihak TNCPI dan SDEC yang telah diadakan pada 23 dan 30 September 2026 bagi menyelaras spesifikasi keperluan pengguna atau User Requirement Specification (URS) untuk pembangunan Dashboard MyRA. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pengurusan dan pemantauan data penyelidikan universiti secara lebih sistematik dan bersepadu.
Bengkel ini melibatkan wakil daripada Pusat Pengurusan Akademik (PPA), Bahagian Sumber Manusia (BSM), Jabatan Pendaftar serta SDEC bersama urus setia MyRA bagi menyelaras dan memurnikan keperluan data yang akan digunakan dalam pembangunan dashboard. Penglibatan Pusat Tanggungjawab (PTj) berkaitan bertujuan mendapatkan input dan pengesahan terhadap sumber data serta keperluan integrasi maklumat daripada sistem sedia ada.
Pengisian bengkel merangkumi taklimat berkaitan Dashboard MyRA, sesi semakan data serta perbincangan mengenai penyelarasan definisi, sumber dan kaedah pengiraan data MyRA. Bengkel ini turut memberi tumpuan kepada semakan keperluan data bagi pembangunan dashboard, selain mengenal pasti isu dan jurang maklumat yang memerlukan tindakan penyelarasan lanjut.
Melalui perbincangan bersama pemilik data dan pihak teknikal, bengkel ini menjadi platform bagi memperincikan keperluan pembangunan Dashboard MyRA serta memastikan maklumat yang digunakan adalah tepat, konsisten dan memenuhi keperluan instrumen penilaian MyRA yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam memperkukuh tadbir urus dan pengurusan data penyelidikan melalui kerjasama antara TNCPI, SDEC dan PTj yang berkaitan. Inisiatif pembangunan Dashboard MyRA ini diharap dapat meningkatkan kecekapan pemantauan dan pelaporan pencapaian penyelidikan universiti pada masa hadapan.
Disediakan oleh
Siti Azar Kassim
Seksyen Penarafan dan Pengiktirafan
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Jabatan Canselori