Nilai, 23 Julai 2026 – Jabatan Pendaftar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama National Training Week (NTW) 2026 dan HRD Corp telah menganjurkan Kursus Generik bertajuk “Profesional dalam Kerja: Kuasa Warna Dalam Kerjaya” secara dalam talian melalui platform Zoom pada 23 Julai 2026.
Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Puan Wan Nadihah Wan Jamil, Ketua Jabatan, Jabatan Canselori USIM, yang berkongsi mengenai kepentingan pemilihan warna dalam membentuk imej profesional, meningkatkan keyakinan diri serta memperkukuhkan komunikasi dan kredibiliti seseorang di tempat kerja.
Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan bahawa warna bukan sekadar elemen fesyen atau penampilan, malah merupakan satu bentuk komunikasi bukan lisan yang mampu mempengaruhi persepsi orang lain terhadap personaliti, tahap profesionalisme dan kebolehpercayaan seseorang. Pemilihan warna yang sesuai mengikut situasi, peranan dan tujuan komunikasi mampu memberikan impak positif dalam penyampaian mesej serta membina keyakinan ketika berinteraksi di persekitaran kerja.
Antara topik yang dikongsikan sepanjang sesi ialah hubungan antara psikologi warna dengan imej profesional, formula pemilihan warna mengikut personaliti dan fungsi pekerjaan, penggunaan warna dalam pakaian bagi meningkatkan keyakinan dan kredibiliti dan penyesuaian warna mengikut majlis, situasi kerja dan audiens.
Sesi yang berlangsung secara interaktif ini turut menerima pelbagai soalan dan maklum balas positif daripada para peserta. Perkongsian pengalaman sebenar serta contoh-contoh praktikal yang diberikan oleh penceramah telah membantu peserta memahami bagaimana penggunaan warna yang tepat dapat meningkatkan penampilan profesional tanpa mengabaikan identiti dan keselesaan diri.
Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi National Training Week 2026 dalam memperkasa budaya pembelajaran sepanjang hayat serta meningkatkan kompetensi warga kerja melalui perkongsian ilmu yang relevan dengan keperluan semasa.
Jabatan Canselori merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendaftar USIM atas jemputan sebagai penceramah serta mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah menyertai dan memeriahkan sesi perkongsian ini. Diharapkan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam membina imej profesional yang lebih berkeyakinan, berwibawa dan memberi impak positif di tempat kerja.