
Program Brisk Walk Canselori Bersama Naib Canselor USIM
NILAI, 27 Mei 2025 – Jabatan Canselori, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Brisk Walk Canselori bersama Naib Canselor USIM sebagai usaha memperkasakan budaya kerja sihat dan menggalakkan kesejahteraan fizikal dalam kalangan warga universiti.
Program yang berlangsung pada jam 5.00 petang ini telah diadakan di perkarangan Bangunan Canselori USIM dan disertai oleh Naib Canselor sendiri bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta barisan pegawai kanan dan staf Jabatan Canselori.
Menurut Naib Canselor USIM, program ini bukan sahaja memberi ruang untuk meningkatkan kecergasan fizikal tetapi turut menjadi landasan penting dalam memperkukuhkan hubungan baik sesama warga kerja dalam suasana santai dan tidak formal.
“Keseimbangan antara komitmen kerja dan kesihatan diri amat penting bagi menjamin produktiviti organisasi. Aktiviti seperti ini wajar dijadikan amalan berterusan, bukan sahaja di peringkat jabatan tetapi juga di seluruh universiti,” ujar beliau.
Selain aktiviti berjalan pantas, program ini turut diserikan dengan sesi bergambar kenangan dan perbincangan santai antara warga jabatan serta pengurusan tertinggi universiti. Kehadiran dan keterlibatan aktif semua peserta menggambarkan semangat kebersamaan serta komitmen USIM ke arah budaya kerja sihat dan harmoni.
USIM terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan dan kesejahteraan bagi memastikan warga kampus kekal cergas, ceria dan produktif seiring dengan aspirasi universiti sebagai institusi unggul berteraskan ilmu dan nilai.