NILAI – Lebih 2,000 pengunjung diraikan pada Majlis Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertempat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), USIM.
Pelbagai pengisian turut disajikan sempena Iftar Perdana tersebut antaranya adalah ceramah khas yang disampaikan oleh Ustazah Asma’ Harun bertajuk Peristiwa Agung di Bulan Ramadan dan pameran berkaitan Al-Quran.
Solat tarawih pada malam itu dipimpin oleh Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki, Imam Masjid Negeri Selangor.
Iftar Perdana USIM merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Islam bertujuan menyantuni dan merapatkan lagi ukhuwah antara warga USIM dan komuniti sekitarnya.
“Budaya iftar secara besar-besaran ini perlu diteruskan dan sentiasa ditambah baik setiap tahun. Ini adalah kerana USIM merupakan Institusi Pendidikan Tinggi yang mempromosikan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang perlu disebarluaskan kepada semua lapisan masyarakat terutama masyarakat sekitar Nilai,” kata Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM yang hadir pada program tersebut.
“Terima kasih juga kepada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kerana sudi memberi tajaan untuk menjayakan program ini. Semoga jalinan hubungan antara USIM dan BIMB yang dibina sejak 2012 akan terus bekekalan dan membuahkan hasil yang baik kelak,” tambah beliau.
Program turut mendapat kerjasama daripada beberapa jabatan seperti Jabatan Keselamatan, Pusat Wakaf dan Zakat dan lain-lain.
Turut hadir di program tersebut ialah Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Ketua-Ketua Jabatan dan beberapa wakil BIMB.
Oleh: Muhamad Fitri Bin Abdul Razak