NILAI – Pusat Kebudayaan USIM berhasrat memperkasa “visibility” jabatan sebagai Peneraju Seni Berbudaya ke pelbagai peringkat dengan penglibatan pempengaruh media sosial dalam satu sesi pembentangan Hala Tuju bersama Naib Canselor. Sesi hala tuju Pusat Kebudayaan USIM bersama Naib Canselor diadakan bertujuan untuk semak dan imbang bagi setiap program dan pencapaian sepanjang penubuhan Pusat Kebudayaan USIM.
Dalam sesi pembentangan tersebut, antara sasaran yang diletakkan oleh Pusat Kebudayaan adalah menjadi Peneraju Seni Berbudaya di peringkat global menjelang tahun 2025.
Menurut, Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM sewaktu sesi pembentangan berkata, “capaian dan promosi yang lebih luas berkaitan elemen Seni Berbudaya kepada masyarakat menggunakan platform media sosial mampu diperoleh melalui kerjasama golongan pempengaruh terdiri daripada alumni yang juga Ikon Seni USIM.” Tambahnya lagi, golongan pempengaruh ini akan membantu meningkatkan keterlihatan USIM melalui pelbagai bentuk inisiatif melalui kerjasama penganjuran program USIM.
Pempengaruh media sosial yang berkelayakan akan dilantik setelah menepati kriteria yang ditetapkan termasuk jumlah pengikut melebihi 10 ribu dari pelbagai platform media. Satu bentuk pakatan bestari dan inisiatif akan dibentuk misalnya melalui pemberian elaun hasil sumbangan kandungan yang diberikan turut disyorkan dalam pembentangan tersebut.
Dalam majlis yang sama, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Shaarani dalam ucapannya berkata, beliau menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh pihak Pusat Kebudayaan USIM dan menyifatkan bahawa perkara tersebut bertepatan dengan apa yang dihasratkan oleh pihak USIM.
Selain itu, Karyawan seni USIM Dato’ Nash Haji Elias turut hadir menyampaikan ucapan berkata, “hala tuju yang dibentangkan menyasarkan pendekatan yang strategik dalam melahirkan keyakinan kepada mahasiswa untuk meneruskan aktiviti Seni Berbudaya berlandaskan syariat dan memberikan manfaat kepada insan sejagat,” katanya.
Sesi pembentangan tersebut turut diserikan dengan selingan persembahan daripada kumpulan taranum, nasyid, caklempong dan muzik moden oleh ahli Kelab Seni Budaya bersama barisan Ikon Seni USIM yang telah meraih pencapaian di pelbagai peringkat termasuk kebangsaan dan antarabangsa.
Turut hadir bersama sesi pembentangan hala tuju tersebut ialah Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Karyawan Seni Ahmad Fedtri Yahya, Razin Che Mud, Siso Kopratasa, Ikon Seni dan ahli Kelab-kelab Seni Budaya. Sesi pembentangan hala tuju tersebut berakhir dengan sesi lawatan Naib Canselor USIM ke sekitar Pusat Kebudayaan USIM dan fotografi bersama barisan tetamu yang hadir.
Oleh: Najmi Adli Mustaffa