NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini telah menjayakan Pentas Akhir Pertandingan Inovasi Lagu Rakyat 2023 bertempat di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Program ini dianjurkan untuk memupuk dan mendorong kreativiti khususnya dalam penghasilan lagu-lagu rakyat yang unik dan inovatif dalam kalangan anak muda ini berjaya menarik perhatian ramai.

Menurut Dr. Nur Aqilah Hazirah Mohd Anim selaku pengarah program berkata, penyertaan yang dibuka bermula 10 Julai sehingga 31 Ogos 2023 yang lalu bertujuan untuk meningkatkan minat membaca buku dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi selain menyemai rasa cinta kepada ilmu pengetahuan melalui seni lagu.

“Ia melibatkan empat kumpulan peserta iaitu Puspa Dinda, Gemala Mentari, Pulang Pagi, dan Serasi yang berentap dalam pentas akhir. Kategori yang dipertandingkan ialah persembahan terbaik, lirik terbaik, dan lagu terbaik. Pemenang membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM1500 bagi tempat pertama, RM1300 bagi tempat kedua, dan RM1000 bagi tempat ketiga”, ujarnya lagi.

  

Dalam pertandingan ini, Pulang Pagi mengukir kejayaan dengan memenangi dua kategori utama iaitu Lagu Terbaik dan Persembahan Terbaik. Gemala Mentari tidak ketinggalan apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Lirik Terbaik.

Manakala, Puspa Dinda dinobatkan sebagai pemenang sagu hati dan Serasi menduduki tempat ketiga. Hadiah utama dimenangi oleh Gemala Mentari, manakala Pulang Pagi meraih tempat kedua.

Pentas Akhir Pertandingan Inovasi Lagi Rakyat 2023 berjaya mencapai objektifnya sebagai platform yang unik kepada bakat-bakat muda untuk berinovasi dalam bidang seni lagu serta meningkatkan minat membaca buku dalam kalangan mahasiswa.

 

Program seperti ini diharapkan dapat terus dianjurkan untuk mengukuhkan lagi industri seni dan budaya di negara ini di samping membuka peluang kepada anak muda untuk menunjukkan bakat kreatif mereka.