NILAI, 26 Jun 2023 – Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa (PBBS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2023 meraikan seramai 49 orang Pegawai Bomba Bantuan Siswa yang ditauliahkan dengan melibatkan 27 orang dari kohort kelima dan 22 orang dari kohort keenam siswa dan siswi USIM yang telah menamatkan latihan serta program kokurikulum berkredit .
Turut diadakan pemakaian pangkat Kehormat oleh Yang Amat Setia Dato’ Ts. Nor Hisham Bin Mohammad Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dianugerahkan kepada Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor USIM sebagai Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).
Yang Amat Setia Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad dalam ucapannya berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia giat dalam usaha menjayakan inisiatif ‘Total Fire Safety Management’, dengan membangun dan melaksanakan modul pembelajaran dan aktiviti kokurikulum keselamatan kebakaran di pelbagai peringkat institusi pendidikan, samada untuk peringkat sekolah mahupun untuk peringkat yang lebih tinggi, termasuklah di IPT.
“Pembangunan rangka pembelajaran dan program kokurikulum ini adalah setara dengan sistem dan piawaian antarabangsa yang dipupuk dan digunapakai oleh tenaga pengajar fire safety educators di negara maju, agar tahap perlindungan kebakaran serta aspek pengurusan kecemasan dapat diuruskan dengan lebih sistematik”.
Sementara itu, Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, majlis pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa USIM 2023 ini julung-julung kalinya diadakan selepas pasca COVID dan yang istimewanya pentauliahan ini mengimbau sejarah kali pertama majlis seperti ini yang dilangsungkan di Dataran Canselori ini pada 24 September 2018.
Jelasnya lagi, majlis ini merupakan satu penghargaan khas daripada universiti serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di atas pencapaian cemerlang dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh Pegawai Bomba Bantuan Siswa dalam tempoh 2 tahun menjalani latihan yang dibimbing oleh tenaga yang berkepakaran di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Bagi saudara Amir Al-Afiq Abdul Ghaffar,23, dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan melahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada juru latih, keluarga dan sahabat handai yang memberikan sokongan padu sepanjang sesi latihan PBBS.
Beliau yang menerima Anugerah Keseluruhan PBBS Kohort lima turut mengikut jejak ahli keluarganya yang bekerja dalam badan beruniform tentera dan polis. Namun, beliau inginkan kelainan dengan menceburkan diri dalam PBBS ini.
Manakala, saudari Raudzatul Aisyah Abdul Halim dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama pula dianugerahkan Anugerah Keseluruhan PBBS Kohort enam.
Turut hadir Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Dato’ Haji Norazam Bin Khamis Pengarah Bahagian Latihan, Yang Setia/ Penolong Pesuruhjaya Bomba Abdul Khair Bin Osman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Yang Setia Pengarah-Pengarah Bomba Negeri serta pengurusan universiti.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan