NILAI –  Kira-kira 2,400 orang pelajar baharu bagi pengambilan Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendaftar secara fizikal bermula 3 Oktober 2023 sehingga 7 Oktober 2023 ini.

Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Dato’ Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, daripada jumlah itu, 1,557 terdiri daripada pelajar wanita dan 843 orang pelajar lelaki..

“Seramai 2,400 pelajar mendaftar secara fizikal dan ia berjalan lancar hari ini. Kesemua pelajar mula melengkapkan pendaftaran universiti secara dalam talian bermula 25 September lalu diikuti pendaftaran kolej kediaman mulai 3 hingga 4 Oktober 2023.

 

“Mereka akan menjalani program taaruf di USIM bermula 5 Oktober hingga 7 Oktober 2023 ini bertempat di Dewan Tuanku Canselor”, katanya ketika ditemui pada program Pendaftaran Pelajar Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai hari ini.

Menurut beliau, pada pendaftaran kali ini, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) menerima pelajar paling ramai iaitu melibatkan 408 orang pelajar di FPQS diikuti Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) melibatkan seramai 400 pelajar baharu.

“Saya mengucapkan selamat datang kepada anak-anak baharu ke USIM, semoga pengalaman yang akan diperolehi dan ditempuhi selama empat tahun sekurangnya di USIM ini akan membantu anak-anak ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan tetapi membina sahsiah, jati diri dan intelektual yang akan menjadi harapan bangsa dan negara”, ujarnya.