SEREMBAN 29 Nov. – Buat julung-julung kalinya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat Nilai di sini memperkenalkan Anugerah Khas Daya Cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Ke-16 universiti itu selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu, Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, anugerah khas itu bertujuan mengiktiraf penerima zakat dalam kalangan graduan yang telah menunjukkan pencapaian signifikan dari segi akademik dan kokurikulum.

Katanya, antara kriteria pemilihan penerima hadiah khas itu ialah pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.00 dan menerima zakat lebih daripada sekali sepanjang tempoh pengajian.

“Anugerah ini adalah kali pertama diperkenalkan dalam konvokesyen tahun ini walaupun USIM telah pun menyalurkan sumbangan zakat kepada pelajar yang termasuk dalam golongan asnaf sejak beberapa tahun lalu.

“Daripada lebih 12,000 mahasiswa USIM, kira-kira 70 peratus adalah mereka termasuk dalam golongan B40. Namun ada pelajar yang pendapatan keluarga mereka bawah daripada RM1,000 sebulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sidang terakhir konvokesyen universiti itu, hari ini.

Beliau memberitahu, USIM telah bertindak menyalurkan bayaran zakat kepada 601 mahasiswa pada semester lalu dan 529 orang lagi dalam semester kini.

Jelasnya, USIM sentiasa mengalu-alukan bayaran zakat daripada mana-mana pihak termasuk syarikat korporat bagi membantu meringankan beban pelajar dalam kalangan asnaf.

Pada majlis konvokesyen hari ini, seramai tiga graduan cemerlang dalam kalangan asnaf menerima anugerah tersebut.

Mereka ialah Nurul Amirah Ajarullah, 24; Siti Solehah Idris, 23, dan Nursafuhah Hazeman, 23, yang mana masing-masing adalah graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah.

Mereka menerima medal, surat penghargaan dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh Pro-Canselor USIM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz. Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/usim-perkenal-anugerah-khas-untuk-graduan-penerima-zakat-1.796317#ixzz5YVPbPpDp

© Utusan Melayu (M) Bhd