USIM mengalukan pelantikan Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin sebagai Naib Canselor Baharu

//USIM mengalukan pelantikan Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin sebagai Naib Canselor Baharu

NILAI, 12 September 2019 – Lantikan Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Pakar Keselamatan Siber dan Fizik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bakal memberi suntikan bertenaga dalam memastikan visi USIM untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi Islam terkehadapan untuk kesejahteraan sejagat dapat dicapai .

Ia lanjutan pengumuman pelantikan yang dibuat oleh YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek secara rasmi telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan semalam.

Pelantikan Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin untuk tempoh tiga tahun yang akan berkuat kuasa mulai 23 September 2019 hingga 22 September 2022 menjadikan beliau merupakan Naib Canselor kelima USIM sejak universiti ini ditubuhkan pada tahun 2000. Warga kampus yang terdiri daripada pensyarah, pentadbir, persatuan kakitangan dan badan pelajar amat mengalu-alukan pelantikan beliau ke jawatan ini untuk terus memacu kecemerlangan universiti kehadapan.

Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, 57, berasal dari Selangor merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik (tahun 1984), Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Theoritical Physics) dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom. Beliau juga merupakan lulusan Diploma in Islamic Studies di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Higher Doctoral Degree (DSc), UMIST, UK pada tahun 2004.

Pelantikan beliau juga berdasarkan pengalaman dan pencapaian beliau semasa memegang jawatan pentadbiran utama iaitu sebagai Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) di UIAM. Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Dekan, Research Management Centre, UIAM dan Dekan, Office of Corporate Strategy dan Quality Assurance di UIAM sebelum itu merupakan pensyarah di Jabatan Matematik dan Institute of Mathematical Sciences di Universiti Malaya (UM).

Dalam pada itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Senior Director of Advanced Analysis and Modeling Cluster and Information Security Cluster di MIMOS Berhad pada tahun 2005 hingga 2011.

Selain terlibat aktif dalam menghasilkan pelbagai penulisan jurnal akademik, konferen dan prosiding, beliau juga pernah menjadi sebahagian ahli jawatankuasa bagi Program 13th International Conference on Advances in Mobile Computing and Multimedia pada tahun 2015.

Atas sumbangan beliau kepada universiti dan komuniti, beliau pernah dianugerahkan beberapa pengiktirafan seperti Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2010 dan University of Malaya Excellence Service Award pada tahun 1995, 1996 dan 1998.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Innovator Terbaik MIMOS 2007 dan Anugerah Innovator MIMOS 2011 bersempena ulangtahun MIMOS yang ke-25. Beliau telah diberi penghormatan dalam kategori Ahli Profesional Kanan bidang Keselamatan IT untuk Anugerah Pencapaian Kepimpinan Keselamatan Maklumat Asia Pasifik 2009 di (ISC)2.

Pada masa yang sama, warga USIM turut mengucapkan penghargaan kepada mantan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Musa Ahmad atas kepimpinan dan sumbangan yang diberikan beliau sepanjang memegang jawatan tersebut dalam membangun dan meningkatkan kecemerlangan USIM di pelbagai peringkat.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

2019-12-02T08:48:47+00:00