NILAI, 21 Jun 2021 – Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim, telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) baharu USIM bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Jun 2021 hingga 14 Jun 2024 menggantikan Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman yang telah tamat lantikan. Pelantikan beliau dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi mengambil kira kepakaran, kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam bidang akademik, khususnya dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam yang bertepatan dengan teras USIM sebagai peneraju pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari University al-Azhar (1996) menamatkan ijazah Sarjana juga dalam bidang yang sama dari Universiti Malaya (2000) sebelum mendapatkan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Epistemologi Teologi Islam (2009) dari University of Edinburgh (UK).

Memulakan kerjaya sebagai pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada tahun 1997, beliau seterusnya mengembangkan sayap dalam bidang Pendidikan apabila memulakan tugasnya di USIM pada tahun 2000 dan merupakan antara kumpulan staf yang terawal berkhidmat di institusi ini. Berdasarkan kepakaran akademik dan jaringan industri yang dimiliki, beliau seterusnya diberi kepercayaan sebagai Pengarah Education Malaysia Egypt (2013-2016) sebelum menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (2017-2018) dengan jawatan terakhir sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah.

Sebagai ahli akademik, beliau berperanan aktif dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan, konsultansi, penulisan pelbagai jenis buku, jurnal, bab dalam buku, artikel popular serta pelbagai sumbangan penulisan lain yang berimpak di samping turut terlibat dalam akreditasi kualiti program akademik bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kepakaran beliau dalam bidang Pengajian Islam acap kali melayakkan beliau untuk dijemput sebagai penasihat/konsultan kepada agensi lain seperti Institut Islam Hadhari, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corperation (HDC), Lembaga Tabung Haji serta lain-lain agensi dan yang paling bermakna sudah tentulah keterlibatan beliau bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menambah baik polisi dan dasar berkaitan Pendidikan negara menerusi Makmal Laporan Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 Bagi Tujuan Penambahbaikan Dasar Pendidikan Negara) anjuran Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU).

USIM meraikan pelantikan beliau ke jawatan ini oleh Menteri Pengajian Tinggi kerana dengan kepakaran serta pengalaman yang dimiliki diharapkan dapat mengekalkan kecemerlangan universiti dalam pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli. Universiti turut merakamkan perhargaan dan terima kasih kepada Profesor Dr. Abdul Rahim Abd Rahman atas khidmat bakti yang diberikan sepanjang beliau menjawat tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) khususnya dalam memantapkan kualiti akademik di USIM.

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan