Merintis Kampus Barakah

//Merintis Kampus Barakah
Merintis Kampus Barakah 2018-11-25T13:43:53+00:00


Maksud Barakah

Barakah bermaksud “kebaikan yang bertambah banyak, kekal dan berterusan” (al-Ziyādah wa al-Namā’ wa al-Thubūt wa al-Istiqrār). Barakah juga ditakrifkan sebagai “tetapnya kebaikan kurniaan Tuhan pada sesuatu perkara” (thubūt al-Khayr al-Ilāhī fī al-Shay’i). Umumnya, barakah merujuk kepada kebaikan, kesuburan, pertambahan, kelapangan, kebahagiaan dan ketinggian yang berkekalan dan berterusan daripada Allah SWT. Barakah juga ditakrifkan sebagai “tetapnya kebaikan kurniaan Tuhan pada sesuatu perkara” (Thubūt al-Khayr al-Ilāhī fī al-Shay’i).

Kampus Barakah USIM bermaksud, “satu usaha yang bersungguh-sungguh dan berstruktur untuk menjadikan sebuah ekosistem pendidikan tinggi yang berpaksikan ilmu, disiplin dan takwa bertujuan untuk menyumbang kepada kebaikan yang sentiasa bertambah, berkekalan dan berterusan untuk masyarakat, negara dan agama.” USIM digambarkan menggapai realiti sebagai sebuah Kampus Barakah pada suatu hari nanti.

Kalimah al-barakah disebut sebanyak 32 kali dalam al-Quran, di dalam 22 surah berbeza. Perkara-perkara yang dikaitkan dengan barakah di dalam al-Quran ialah Allah, manusia, al-Quran, tempat tertentu, masa tertentu, pohon yang tumbuh di tempat yang diberkati dan air yang suci. Maka, barakah akan membawa kepada kemakmuran, kemajuan, kesejahteraan, keharmonian, kekuatan, keamanan, kemuliaan dan kepemimpinan kepada sesebuah bangsa yang memenuhi ciri keimanan dan ketakwaaan kepadaNya. Dalam pandangan alam Islam, sebuah bangsa yang barakah adalah golongan terbaik diutuskan Allah SWT kepada umat manusia. Kehadiran mereka membawa rahmat kepada seluruh ummah dan manusia sejagat. Selari dengan itu, tempat yang barakah adalah penempatan terbaik untuk dihuni.

Dalam konteks ini, USIM dilihat merintis menjadi sebuah Kampus Barakah yang dihuni warga yang mempunyai nilai kendiri yang mengundang barakah melalui moto “Berilmu, Berdisiplin dan Bertakwa”. Barakah ilmu yang kita harapkan akan menjadikan kampus kita sebuah Kampus Barakah. Dengan adanya keberkatan, yang sedikit menjadi banyak; yang kurang menjadi cukup; keadaan menjadi bertambah baik, tanpa sebarang had dan ada kalanya tanpa dirasai dan diketahui sumber kedatangannya.

Selari dengan itu, warga USIM tidak kira penuntut atau staf, dilatih menjadi insan terbaik dalam kalangan yang terbaik, yang impaknya turut dirasai oleh orang lain. Rasulullah SAW dijadikan model yang mengaspirasikan kebaikan dan kerja bakti yang menjadi tradisi teras kegemilangan Islam. Asas kebaikan dan memudahkan urusan orang lain menjadi asas melimpahkan barakah dan membentuk kampus yang diberkati. Dalam mendepani cabaran menggapai impian, pelbagai pendekatan diaplikasikan kepada warganya seperti konsep Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli serta Kepemimpinan Berpandukan Qalbu yang rata-rata membawa kepada kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Buku Merintis Kampus Barakah

Sinopsis

Buku ini mencoretkan perjalanan USIM menuju Kampus Barakah yang meliputi sejarah penubuhan Universiti, perkembangan dan cabaran masa hadapan. Takrif universiti dibincangkan dalam konteks umum dan konteks USIM sebagai tradisi ilmu yang menjadi tunggak kepada sistem pendidikan. ‘Islam’ pada USIM ditakrifkan dengan istilah yang membentuk identiti USIM iaitu Integrasi naqli dan aqli, Iqra’, Insan, Internasionalisasi, Interaksi di peringkat antarabangsa dan tempatan, intervensi Revolusi Industri dan implikasi kepada ummah. Dengan berbekalkan pendekatan USIM yang tersebut, sejarah penubuhan USIM didokumentasikan dari 2000 hingga 2007 beserta perkembangan 2008 hingga 2017. Ke arah merintis Kampus Barakah, pelan strategik Universiti dijadikan landasan, supaya hala tuju terlorong mencapai keseimbangan intelek dan iman. Cabaran masa hadapan USIM sebagai mencapai Kampus Barakah diteliti daripada kajian masa hadapan dan difahami daripada beberapa kebarangkalian identiti USIM pada masa hadapan.

“Penerbitan buku ini amat istimewa bagi Beta kerana ia dikupas melalui 17 tahun perjalanan Universiti ini, semenjak penubuhannya, yang menyentuh aspek integrasi ilmu naqli dan aqli. Melalui tema-tema yang diangkat, ia menunjukkan hasrat yang jelas untuk menjadikan USIM sebagai sebuah kampus yang barakah, kerana melalui paduan antara ilmu naqli dan aqli ini, diharapkan dapat membantu mewujudkan masyarakat madani.”

DYMM TUNKU AMPUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS TUANKU AISHAH ROHANI BINTI ALMARHUM TENGKU BESAR MAHMUD, Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia


MUAT TURUN BUKU