NILAI, 2 OKTOBER 2018 – Mengambil inisiatif untuk meraikan kemeriahan dan kepelbagaian budaya para pelajar di Universiti Sains Islam Malaysi (USIM), Pusat Pengajian Siswazah (PPS) dengan kerjasama USIM ‘Alamiyyah telah menganjurkan USIM International Carnival (UIC) 2018. Program ini diilhamkan dari program kebudayaan pelajar antarabangsa yang dianjurkan pada tahun lalu oleh Persatuan Pelajar Antarabangsa USIM (INSAN). Julung kali diadakan, selain menonjolkan elemen kebudayaan, penganjur turut menyuntik nilai akademik dalam UIC 2018 dengan penganjuran program kolokium, pembentangan tesis dalam Bahasa Arab, serta taklimat berkaitan pengantarabangsaan.

Objektif UIC 2018 adalah untuk mengumpul dan mengetengahkan kepelbagaian budaya di USIM khususnya, dan di semua institusi pendidikan tinggi seluruh negara. Seramai 300 peserta warga universiti tempatan dan antarabangsa dari lebih 10 buah negara memeriahkan UIC ini. Bersempena majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara USIM dengan Institut Agama Islam Negeri Samarinda Indonesia (IAIN).

Sepanjang sehari UIC berlangsung, sebanyak lima 5 aktiviti utama dianjurkan iaitu Pertandingan Pembentangan Tesis dalam Bahasa Arab di bawah masa 5 Minit; pembentangan dari wakil Education Malaysia Global Services (EMGS); Kolokium Siswazah; persembahan kebudayaan dari lebih 10 negara dan kemuncaknya acara Neon Fun Run pada sebelah malam. Pengunjung yang hadir sepanjang sehari karnival ini berpeluang mempelajari budaya, merasai makanan, dan mencuba pakaian tradisi pelbagai negara seperti Bangladesh, Brunei, Thailand, Indonesia, Singapura, Oman, Jordan, Nigeria, dan Gambia di booth pameran.

Menurut Prof. Dr. Rozhan M. Idrus selaku pengerusi program ini mempunyai hasrat agar UIC pada masa akan datang dapat menjadi karnival peringkat kebangsaan. “Ia dapat menjadi saluran untuk membuka dan menambah rangkaian kepakaran para pelajar dan warga akademik, sekaligus dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara penyedia pendidikan tempatan dengan institusi luar negara”.

“Kami berharap agar karnival ini akan menjadi antara program utama dalam kalendar USIM, dan berbesar hati sekiranya ianya dapat menarik lebih ramai penyertaan dari warga universiti seluruh negara pada masa akan datang. Kita akan memanfaatkan platform yang ada di Majlis Dekan-Dekan Pengajian Siswazah (MDPS) untuk mendapatkan sokongan para ahli agar karnival ini dapat menarik lebih ramai penyertaan pelajar-pelajar siswazah kerana kita sedia maklum sebahagian besarnya adalah dari kalangan pelajar antarabangsa” ujarnya yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Siswazah USIM.

Disediakan oleh:
Ahmad Farid Mohd Jamal
Pusat Pengajian Siswazah