PENGENALAN

Dalam usaha USIM untuk menerajui dan mempelopori integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di rantau ini, adalah satu keperluan bagi USIM untuk berusaha ke arah mendapat pensijilan MS ISO1900:2014, iaitu Sistem Pengurusan Kualiti berteraskan Syariah. Di antara keperluan pensijilan tersebut adalah penetapan Nilai-nilai Teras yang perlu dijadikan pedoman dan rujukan bagi seluruh warga USIM.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) Bil. 31/2016 bertarikh 4 November 2016 telah bersetuju konsep Al-Qawiyy Al-Amin dijadikan sebagai Nilai Teras USIM berasaskan surah al-Qasas, ayat 26 yang bermaksud:

Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja ialah orang yang kuat (Al-Qawiyy) lagi amanah (Al-Amin)

Nilai-nilai Teras USIM ini disasarkan menjadi budaya semua warga kampus USIM yang merangkumi pelajar, staf sokongan, staf akademik, staf pentadbiran dan pihak pengurusan tertinggi untuk memperkasakan ‘kualiti’ di USIM bermula dari pembentukan sikap melalui penerapan nilai-nilai murni, beretika dan profesional. Terdapat lima elemen penting dalam Nilai Teras USIM iaitu Profesional, Efisyen, Alamiyyah (Global), Amanah dan Muafakat.

PROFESIONAL

Profesional walaupun mempunyai pelbagai takrifan, namum dalam Islam adalah lebih berkaitan dengan soal moral dan budaya. Nilai-nilai yang menggambarkan profesionalisme dalam konteks USIM mencakupi nilai-nilai disiplin, hormat-menghormati, berdisiplin dan berilmu

EFISYEN

Nilai Efisyen dalam kerja pula amat penting dalam memacu kualiti USIM ke tahap yang lebih tinggi. Ia juga berkaitan dengan usaha untuk meminimakan penggunaan sumber dalam menghasilkan sesuatu yang bermutu melalui kualiti kerja yang cemerlang serta proses membuat keputusan dengan pantas atau bertindak segera. Efisyen juga perlu menyerlahkan hasil kerja inovatif dan kreatif serta menghasilkan keputusan yang tepat dan menepati masa yang ditetapkan

ALAMIYYAH

Alamiyyah (Global) memberi gambaran kesediaan USIM dan warganya untuk meneroka pelbagai bidang di peringkat yang lebih jauh dan terkehadapan. Bersifat Alamiyyah merangkumi kemampuan multilingual (kepelbagaian bahasa), kebolehan multicultural (kepelbagaian budaya) dan bersifat sentiasa terkehadapan serta mampu menerajui perubahan

AMANAH

Sifat Amanah pula merangkumi integriti dan akauntabiliti dalam menjalankan tugas. Dari segi istilah ‘amanah’ bermaksud boleh dipercayai dalam segala hal yang dipertanggung jawabkan kepada seseorang, baik hak-hak itu milik Allah mahupun hak hamba, baik yang berupa benda, pekerjaan, perkataan, ataupun kepercayaan hati. Sifat-sifat ini bukan sahaja dituntut dalam Islam malah memerlukan keteguhan Iman dalam mendepani sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan sesorang itu tersasar daripada memikul tanggungjawabnya

MUAFAKAT

Sifat Muafakat pula mencerminkan wujudnya kerjasama dan semangat berpasukan dalam sebuah organisasi. Sifat muafakat dan kerjasama ini penting dalam organisasi serta menyumbang kepada persefahaman antara staf dan organisasi yang boleh memberi nilai tambah kepada organisasi. Segala masalah perlu diselesaikan secara muafakat kerana muafakat membawa berkat. Muafakat yang ingin dibina di USIM adalah yang berteraskan konsep syura