Sambutan Ulang Tahun Ke-15 USIM

PENGENALAN


Pada tahun 2015 ini, Universiti Sains Islam Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) akan menyambut ulangtahunnya yang ke-15. Menelusuri sejarah, idea menubuhkan KUIM adalah untuk menampung kekurangan intelek yang menguasai ilmu Islam. Pengumuman awal cadangan penubuhan ini telah  dibuat pada 14 Jun 1996 oleh YB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak iaitu  Menteri Pendidikan ketika itu di Pasir Puteh, Kelantan. Seterusnya pada 13 Jun 1997 kabinet telah bersetuju dengan penubuhan KUIM dan  pewartaan telah dibuat pada 12 Mac 1998.

Hasrat penubuhan KUIM adalah selaras dengan manifestasi Kerajaan untuk melahirkan pemimpin Islam yang berwibawa dan dapat memelihara kepentingan negara dan umat Islam sepenuhnya. Selain itu ia berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai model utama negara-negara Islam di dunia dan menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dengan menggunakan kurikulum tempatan untuk memastikan keutuhan Islam dalam negara demi merealisasikan pembinaan tamadun baru Islam. Selain itu juga, ia juga bertujuan untuk mengembalikan ketokohan ilmu Islam yang semakin pudar.

KUIM mula beroperasi pada tahun 2000 dengan pengambilan sulung seramai 255 pelajar pada 18 Jun 2000. USIM merupakan, Universiti Islam yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia dan merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ke-12 di negara ini. USIM berhasrat muncul sebagai saluran utama kumpulan pelajar di sekolah-sekolah menengah agama dan pelajar aliran agama untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat pendidikan tinggi. Program pengajiannya diolah bagi memenuhi keperluan pasaran, industri dan mampu membentuk pembangunan modal insan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi. Pada tahun 2007, KUIM telah bertukar nama kepada UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA.

Bagi sambutan Ulang Tahun USIM ke-15 ini, USIM telah menyediakan pelbagai program dan aktiviti sambutan menarik yang bukan sahaja melibatkan warga USIM, bahkan turut melibatkan penyertaan daripada pihak luar. Majlis Pelancaran Sambutan USIM ke-15 telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Pengerusi LPU USIM pada 5 Februari 2015 dan takwim sambutan boleh disemak pada pautan di bawah.

TAKWIM

LOGO

 

Rasional Logo

USIM sebagai sebuah Institusi pengajian tinggi berteraskan Islam yang dinamik menjadi tema kepada rekabentuk logo ini. Lapan kolaj warna dijadikan perlambangan kepada kepelbagaian USIM sebagai sebuah universiti yang semakin matang berteraskan paradigm integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
 
Angka 15 yang diberikan sentuhan khat dengan berlatar belakangkan lapan tona warna segar yang mewakili lapan fakulti di USIM, merupakan manifestasi kepada perjalanan USIM dalam memartabatkan pendekatan ke arah penyampaian ilmu, yang menyatukan sains revelational (ilmu Naqli) dan sains rasional (ilmu Aqli). Ia juga mencerminkan penyatuan usaha di kalangan warganya yang tidak berbelah bagi dalam menyokong misi dan visi falsafah pendidikan di USIM.
 
Logo Iqra’ melambangkan halatuju USIM dalam meneroka bidang keilmuan Islam dalam persekitaran dan teknologi terkini, bagi melahirkan ilmuan Islam yang berpendidikan sepadu serta mampu menawarkan pendekatan baharu dalam menyelesaikan permasaalahan global semasa.

Panduan Penggunaan Logo:

Penggunaan logo Ulang Tahun ke 15 USIM merupakan sebahagian daripada usaha penjenamaan universiti.  Justeru logo Ulang Tahun ke 15 ini hendaklah digunakan bersama tanda jenama utama universiti, iaitu logo USIM disetiap bunting, banner atau bahan promosi yang lain sepanjang tahun 2015.
 
Berikut adalah garis panduan penggunaan logo Ulang Tahun ke 15 USIM di mana logo vertikal USIM diletakkan di sebelah kiri dan logo Ulang Tahun ke 15 di sebelah kanan.


 Perhatian:

  • Logo Ulang Tahun ke 15 USIM TIDAK BOLEH digunakan tanpa logo USIM.
  • Logo Ulang Tahun ke 15 USIM hendaklah hanya dicetak melalui hasil seni (artwork) yang muat turun di portal web rasmi USIM atau yang diterima melalui Unit Multimedia dan Info Digital, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm).
  • Logo Ulang Tahun ke 15 USIM  tidak boleh sama sekali dilukis semula dalam apa-apa cara sekalipun. Manipulasi pada mana-mana bahagian adalah tidak dibenarkan sama sekali.
  • Penggunaan logo Ulang Tahun ke 15 untuk tujuan komersil adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Untuk muat turun logo USIM, sila ke laman berikut: http://stracomm.usim.edu.my/logousim


Pejabat Pentadbiran Canselori, Aras 4, Bangunan Canselori

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: (+60) 06-798 8042/8024 | Fax: (+60) 06-798 8041
Email: webmaster.canselori[at]usim.edu.my