Mempelopori Sains Islam

Penubuhan USIM sebagai universiti awam pertama yang bertunjangkan pengajian Islam dan mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dalam arus pendidikan perdana negara menjadikan IPTA awam ke-12 ini mempunyai keunikannya sendiri.

Menawarkan program pengajian daripada peringkat pra universiti di bawah kendalian Pusat Tamhidi, pra siswazah hingga ke pasca siswazah, memperlihatkan ianya adalah universiti yang menyeluruh dalam menawarkan peluang pengajian berkualiti di pelbagai peringkat.

Selari dengan namanya yang menonjolkan dua entiti penting iaitu sains dan Islam, sudah memberi indikasi kepada masyarakat bahawa universiti ini membawa peranan dan tanggungjawab untuk mempelopori Sains Islam.

Sejak penubuhannya pada tahun 2000 sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), kandungan program pengajian di setiap fakulti sudah menjurus kepada Sains Islam. Modul kurikulum USIM dibangunkan dengan berhati-hati supaya semua eleman profesionalisme dan nilai-nilai Islam adalah selari dan tidak terpisah. Menerusi kreativiti dan inovasi USIM , kursus seperti Akidah Islam, Akhlak dan Tasawwuf, Fiqh Ibadat dan Munakahat , Pengajian Halaqah dan Prinsip dan Amalan Komunikasi Da’wah diwajibkan kepada semua program pengajian. Dalam konteks ini, graduan USIM bukan sahaja seorang profesional di dalam ilmu kontemporari, malah berupaya mengupas isu yang bersangkutan dengan  aspek keagamaan.

Sebagai pelopor dalam bidang Sains Islam dan menjadikannya bidang tujahan Universiti, aspek penyelidikan yang memfokus kepada sains Islam turut diberi penekanan. USIM buat pertama kalinya telah berjaya menggabungkan tenaga penyelidik dengan kepakaran konvensional dan agama dengan skala besar di bawah satu kumpulan untuk menjayakan penyelidikan berkaitan makanan Sunnah yang mendapat geran NRGS berjumlah RM5 juta.

Untuk memperkukuhkan Sains Islam di dalam visi dan misi USIM, pihak pengurusan telah memberikan komitmen dan sokongan serta menyediakan enabler antaranya Lembaga Pengarah Universiti pada 25 November 2013 telah bersetuju meluluskan pemakaian tema Mempelopori Sains Islam, Memimpin Keilmuan sebagai identiti USIM dan menubuhkan Institut Sains Islam sebagai PTJ yang menjadi catalyst kepada penyelidikan Sains Islam.


Pejabat Pentadbiran Canselori, Aras 4, Bangunan Canselori

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: (+60) 06-798 8042/8024 | Fax: (+60) 06-798 8041
Email: webmaster.canselori[at]usim.edu.my