SUKARELAWAN USIM BANTU MANGSA BANJIR

NILAI, 20 JAN 2015 – Seramai lebih 300 sukarelawan SMART Team USIM yang terdiri  daripada gabungan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisan USIM (PRAGMATIS), Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa (SKM) bersama-sama berganding bahu meringankan beban mangsa dengan melaksanakan misi bantuan pasca banjir di Kelantan dan Pahang sejak awal Januari lalu.

Operasi pertama bermula di Kg Lebir, Gua Musang pada 2 hingga 4 Januari, dan diteruskan pula pada 8 hingga 9 Januari  2015. Operasi seterusnya diteruskan pada 7 Januari 2015 ke Temerloh, kumpulan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu pada 8 Januari ke Jerantut dan Gua Musang. Pada 12 hingga 14 Januari pula, sukarelawan memulakan operasi ke SMK Sultan Yahya Petra 1 dan SMK Laloh, Kuala Krai Kelantan. Seterusnya pada 17 hingga 19 Januari misi diteruskan ke SK Limau Kasturi, Gua Musang.

Bantuan memfokuskan kepada pembersihan masjid, dewan orang ramai, sekolah dan kediaman penduduk serta pengagihan barangan berupa makanan seperti beras, tepung, gula, makanan segera dalam tin, barang keperluan harian seperti sejadah, pakaian dan air mineral. Peralatan seperti khemah, mesin air, tong turut dibawa dari USIM untuk melancarkan proses pembersihan dijalankan.

 

Seramai 33 sukarelawan termasuk pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) USIM turut serta dalam misi bantuan ke Kg Gintong, Jerantut Pahang bagi menjayakan bantuan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah. Mereka turut membuka klinik di balairaya yang turut dibantu oleh 45 sukarelawan dari Hospital Sime Darby.

Sumbangan dalam menjayakan misi bantuan mangsa banjir di Jerantut dan Temerloh ini turut mendapat kerjasama penuh daripada Tabung Haji Properties berbentuk keperluan asas memasak, kelengkapan dan alat mandi, kelengkapan solat untuk Muslim serta 5 unit ‘water jet’ untuk kemudahan pembersihan di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Bantuan yang dihulurkan adalah diharapkan sedikit sebanyak membantu mangsa banjir dan diharapkan jalinan kerjasama dengan pihak USIM berterusan untuk meningkatkan semangat tolong-menolong dan prihatin dalam menangani bencana alam di Malaysia,” ujar En. Zin selaku wakil dari TH Properties.

Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM turut meluangkan masa menyertai misi bantuan banjir ke Kg. Lebir Gua Musang, bersama Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar USIM Encik Haizuan Rozali. Pengurusan Tertinggi universiti ini turut menyelami perasaan sedih penduduk kampong dengan memberi kata-kata semangat dan kesabaran menempuh ujian dari Allah.

“Susulan Mesyuarat Khas Ops Banjir yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan telah diadakan pada 31 Disember lalu, USIM telah diberi tanggungjawab untuk memfokuskan misi bantuan dan sukarelawan pasca banjir ke Gua Musang, Kelantan. Tidak dapat dinafikan bahawa Negeri Kelantan menjadi antara negeri yang menerima kesan terbesar dalam ujian banjir kali ini”, tambah Dato’ Musa. 

Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor  USIM mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang terlibat dan berharap khidmat bakti yang dihulurkan memberi sedikit kelegaan kepada mangsa banjir bak kata pepatah 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul', ucap beliau semasa menyertai operasi bantuan banjir di Kg. Lebir Gua Musang.

Disediakan oleh : 

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204


Pejabat Pentadbiran Canselori, Aras 4, Bangunan Canselori

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: (+60) 06-798 8042/8024 | Fax: (+60) 06-798 8041
Email: webmaster.canselori[at]usim.edu.my