KEMBARA : MENDAKAP AWAN DI PUNCAK GUNUNG KINABALU

NILAI, - Tanggal 23 Januari 2015 mencipta sejarah dan kenangan terindah buat 21 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila berjaya menawan Gunung Kinabalu yang berketinggian 4095m dari paras laut. Lebih manis lagi apabila pengalaman kali pertama sampai ke puncak gunung tertinggi Asia dan disenaraikan sebagai UNESCO World Heritage ini diraikan bersama-sama dengan Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan beberapa pegawai USIM lain yang turut sama mendaki.

Para pelajar ini merupakan para peserta program khas Universiti iaitu Young Muslim Leaders of the Future (YMLF) yang diurusetiakan di bawah Pejabat Naib Canselor. Latihan untuk melakukan ekspedisi ini dilakukan secara intensif semenjak sebulan secara persendirian ataupun latihan secara berkumpulan oleh para peserta. Antara bentuk latihan yang dilakukan adalah seperti melakukan larian sekitar kampus, larian balapan, berbasikal dan mendaki bukit.

Para peserta terbang ke Sabah pada 20 Januari dengan pengisian santai pada hari pertama di sana seperti melawat Kolam Air Panas Poring dan Fish Massage Tagal Sungai Moroli. Misi pendakian bermula pada hari kedua di sana apabila bertolak sekitar 8.00 pagi ke Taman Kinabalu Sabah. Setiba di sana, para peserta diberikan taklimat sebelum memulakan pendakian sekitar sekitar jam 10.00 pagi sambil diiringi beberapa Mountain Guide.

Menurut salah seorang peserta, Muhamad Amirul Razali, pelajar Fakulti Syariah dan Undang – undang (FSU), terdapat dua fasa pendakian iaitu dari titik permulaan ke Laban Rata iaitu sejauh 6 KM dan dari Laban Rata ke Puncak Gunung Kinabalu sejauh 2.7 KM. “Pendakian yang curam dan licin disebabkan hujan ternyata mencabar. Setiap 1KM perjalanan, terdapat pondok-pondok rehat yang disediakan untuk para peserta melepas lelah. Sepanjang pendakian, mata sentiasa terpesona dengan pemandangan sekitar dan kepelbagaian flora.”

“Dikatakan terdapat sehingga 5000 spesies tumbuhan di sekitar Gunung Kinabalu. Tidak menghairkan kerana keindahan alam semulajadi yang dijaga rapi, pelbagai pendaki antarabangsa bertandang ke sini dan antara yang kami temui pendaki dari Denmark, Jerman, Australia, Korea dan Jepun. Sekitar jam 7.30 malam, semua peserta selamat tiba di Laban Rata.” Katanya lagi.

Kedinginan tanah tinggi semakin terasa disamping keterujaan untuk menyapa awan Kinabalu makin melonjak-lonjak. Selepas menikmati makan malam dan rehat, pada jam 3.30 pagi para peserta memulakan pendakian fasa dua. Suhu yang mencecah 16c ketika itu, membuatkan para peserta dinasihatkan untuk memakai baju tebal, jaket, sarung tangan, topi dan stoking.

Keadaan persekitaran yang masih gelap dan sejuk ternyata memberi cabaran berganda untuk menamatkan misi. “Berbekalkan lampu suluh, kami perlu sampai ke pintu gerbang puncak sebelum jam 5.00 pagi dan dikehendaki untuk menunjukkan permit pendakian kami di sana” kata Riza Asma’a Saari, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Tambahnya lagi “Azan tanda kejayaan dilaungkan peserta dipuncak gunung Kinabalu apabila kumpulan pertama menjejakkan kaki pada jam 6.30 pagi diikuti kumpulan berikutnyan secara berperingkat. Bergema nyanyian lagu USIM Terus Maju, kibaran megah bendera Universiti dan sesi fotografi kenang-kenangan merupakan detik indah yang dirasai kami semasa berada dipuncak”.

Hari terakhir di Negeri Dibawah Bayu, walaupun keletihan dan penak kaki masih terasa, para peserta mengambil peluang membeli-belah di pasar Filipina dan menghayati keindahan sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Jam 7.00 malam, mereka berlepas pulang ke Semenanjung bersama memori manis mendakap awan Kinabalu.

Disediakan oleh : 

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204


Pejabat Pentadbiran Canselori, Aras 4, Bangunan Canselori

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: (+60) 06-798 8042/8024 | Fax: (+60) 06-798 8041
Email: webmaster.canselori[at]usim.edu.my