KEMENTERIAN PENDIDIKAN IKTIRAF USIM DENGAN STATUS AUTONOMI

NILAI, 16 Jan - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta kejayaan membanggakan di awal jendela tahun baharu 2015 apabila menerima pengiktirafan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan penganugerahan status autonomi kepada Universiti ini. Ia menjadikan USIM antara 12 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) setakat ini yang menerima status autonomi daripada Kementerian.

Penyampaian watikah autonomi ini disampaikan oleh YAB Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan kepada USIM yang diterima oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Abdul Shukor Hj Husin bersama Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad sempena Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pagi tadi.

USIM pada 2011 telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan bersama UKM dan USM sebagai universiti projek perintis (pilot project) untuk pengauditan autonomi sebelum dasar ini dilaksanakan. Pengalaman yang diambil semasa terlibat dalam projek rintis ini menjadikan USIM membuat persiapan terbaik dan menyeluruh apabila pengauditan sebenar (audit kedua) dijalankan oleh KPM. Status autonomi diberikan apabila sesebuah IPTA melepasi penilaian tahap kesediaan autonomi melebihi skor 85% dalam komponen tertentu yang dinilai.

“Autonomi ini ialah satu tanggungjawab dan amanah yang perlu kita tunaikan selepas ini. Universiti harus lebih peka dan berusaha keras kerana pihak Kementerian akan sentiasa memantau untuk memastikan kita sentiasa memenuhi kriteria yang ditetapkan. Oleh itu, semua kaitangan USIM dipelbagai peringkat perlu memberi perhatian kepada autonomi ini kerana apabila ia berhasil akan memberi banyak faedah kepada Universiti,” ulas Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr.Abdul Shujor Hj Husin.

Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2012, sebanyak tujuh (7) buah IPTA telah menerima status autonomi ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pada majlis ini, universiti lain yang turut diberi status autonomi bersama USIM adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UITM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Melaka (UTeM).

Autonomi yang diberikan ini adalah mencakupi empat bidang iaitu Governan Institusi; Kewangan dan Penjanaan Pendapatan; Pengurusan Sumber Manusia; dan Pengurusan Akademik dan Kemasukan Pelajar.

Dengan pemberian autonomi ini, IPTA berhak untuk melaksanakan perkara-perkara di dalam Pekeliling/Surat Pekeliling yang telah diluluskan atau diberi penurunan kuasa oleh Agensi Pusat kepada Lembaga Pengarah Universiti/Lembaga Governan Universiti (LPU/LGU). Melaluinya, peranan LPU/LGU selaku pembuat keputusan akan terus diperkasakan selaras dengan tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan sumber universiti ditadbir secara integriti dan akauntabiliti.

 

 

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, CanseloriUniversitiSains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/8028 Faks : 06-798 8204


Pejabat Pentadbiran Canselori, Aras 4, Bangunan Canselori

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: (+60) 06-798 8042/8024 | Fax: (+60) 06-798 8041
Email: webmaster.canselori[at]usim.edu.my