PROFESOR DR ZULKIPLE BIN ABD GHANI DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN NAIB CANSELOR (AKADEMIK DAN ANTARABANGSA) BAHARU USIM

NILAI, 20 Jan 2015 - Prof Dr Zulkiple bin Abd Ghani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dilantik secara rasmi oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 Januari 2015 hingga 14 Januari 2018.

Kementerian Pendidikan pada sebelum ini telah bersetuju untuk melantik beliau memangku tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM bermula 1 September 2014 lalu apabila penyandangnya, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad telah dilantik sebagai Naib Canselor USIM pada Ogos 2014.

Prof. Dr. Zulkiple, 50, anak kelahiran Kedah berkelulusan PhD dari Universiti Edinburgh (1996) dalam bidang Dakwah, Komunikasi dan Media Islam; dan Sarjana Muda Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, 1990).

Kerjaya akademik beliau bermula di UKM sebagai pensyarah di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan UKM (1996-2001); Ketua Jabatan Jabatan Dakwah dan Kepimpinan (1997-2003); dan Fellow Kanan Institut Islam Hadhari UKM (2007-2009). Beliau kemudiannya berhijrah ke USIM pada 2009 sebagai Profesor di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP); Timbalan Dekan (Akademik dan Penyelidikan) FKP (2010-2012) dan seterusnya dilantik sebagai Dekan FKP pada 1 Mac 2012.

Sepanjang berkhidmat di sini, Prof. Dr. Zulkiple telah memberi sumbangan yang signifikan kepada Universiti melalui peranan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti; ahli Senat Universiti; Ketua Jawhar bagi Ulum Islamiyyah dan Pembangunan Ummah di bawah Kluster Penyelidikan;  dan Ketua Pengarang bagi Jurnal 'Ulum Islamiyyah.

Kepimpinan dan pengalaman beliau dalam bidang pendidikan tinggi turut diiktiraf pihak luar antaranya dilantik sebagai Ahli Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 30 Jun 2014 untuk memberi nasihat dan pandangan asas kepada Kerajaan dalam Pengurusan Hal Ehwal Islam; Pengerusi Penggubal Kurikulum Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); serta terlibat memberi konsultasi akademik kepada beberapa Kolej Universiti Islam negeri seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

Prof. Dr. Zulkiple turut dilantik mengangotai beberapa badan professional seperti ahli Majlis Profesor Negara; Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM); dan Arab-US Association of Communication Scholars (AUSACE).Beliau juga terlibat sebagai ahli panel bagi Anugerah Akademik Negara (AAN) dan panel penilai bagi beberapa geran penyelidikan seperti LRGS, FRGS dan TRGS.

Sebagai seorang ahli akademik,  beliau telah menerbitkan lebih daripada 17 buah buku sebagai penulis dan editor, lebih daripada 30 artikel dalam jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa, menyelia lebih daripada 40 pelajar pasca-siswazah dan menyertai lebih daripada 100 persidangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kejayaan beliau di dalam bidang penyelidikan juga amat terserlah antaranya memenangi Pingat Emas di 23th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX 2012), Pingat Perak dalam Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2012) dan Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UKM (2005) serta penerima Anugerah Penyelidikan USIM 2013.

 

Disediakan oleh : 

Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204


Pejabat Pentadbiran Canselori, Aras 4, Bangunan Canselori

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: (+60) 06-798 8042/8024 | Fax: (+60) 06-798 8041
Email: webmaster.canselori[at]usim.edu.my